Siakap Keli
Peluncuran PRIME: Inisiatif Strategik Tingkatkan Tahap Kesiapsiagaan MCMC Hadapi Situasi Bencana di Tempat Awam

Peluncuran PRIME: Inisiatif Strategik Tingkatkan Tahap Kesiapsiagaan MCMC Hadapi Situasi Bencana di Tempat Awam

Peluncuran PRIME: Inisiatif Strategik Tingkatkan Tahap Kesiapsiagaan MCMC Hadapi Situasi Bencana di Tempat Awam

CYBERJAYA, 16 Jun 2025 – Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil hari ini meluncurkan Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) sebagai satu inisiatif strategik Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan dalam berhadapan dengan situasi bencana dan kecemasan di tempat awam.

PRIME merupakan sistem komunikasi bersepadu bergerak berasaskan kenderaan
yang dilengkapi teknologi satelit, selular, radio dua hala, Wi-Fi dan dron. Sistem
PRIME ini berfungsi sebagai sokongan interim komunikasi, membolehkan operasi
menyelamat, pengurusan bantuan dan penyampaian maklumat dijalankan secara
berkesan bersama agensi-agensi berkaitan, termasuk di kawasan terpencil atau
terjejas liputan bersesuaian dengan slogan PRIME iaitu “Ketersambungan Tanpa Batasan”.

PRIME berkeupayaan memastikan ketersambungan komunikasi yang stabil, fleksibel dan boleh dipercayai ketika operasi bantuan terutamanya apabila liputan komunikasi rangkaian terestrial sedia ada terganggu atau terhad.

Pelaksanaan PRIME juga akan memperkukuh kerjasama antara MCMC dengan
pelbagai agensi strategik dalam pengurusan bencana dan kecemasan, sekali gus
meningkatkan kecekapan tindak balas dan ketahanan komunikasi negara.

Selain itu, PRIME juga turut menyokong program jangkauan komuniti seperti Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) sebagai hab digital bergerak yang membolehkan perkhidmatan Internet dipamerkan dan aktiviti komuniti dilaksanakan terus di lokasi sasaran.

Inisiatif ini akan menyumbang kepada pembangunan ekosistem komunikasi yang lebih inklusif dan responsif, serta menjadi pemangkin kepada transformasi digital
masyarakat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Sebagai permulaan, tiga (3) unit PRIME akan dibangunkan secara berperingkat. Unit pertama yang dilancarkan hari ini akan ditempatkan di Ibu Pejabat MCMC bagi menyokong operasi di Semenanjung Malaysia, manakala dua (2) lagi unit akan disiapkan menjelang akhir 2025 dan ditempatkan di Pejabat MCMC di Sabah dan Sarawak.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, YBhg. Datuk Mohamad Fauzi bin Md Isa dan Pengerusi Eksekutif MCMC, YBhg. Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Siti Sakinah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.