Siakap Keli
Kredit: AFP

Harga Minyak Dunia Melonjak Lagi Susulan Kenyataan Trump

Harga Minyak Dunia Melonjak Lagi Susulan Kenyataan Trump

HONG KONG, 17 Jun – Harga minyak mentah dunia mencatatkan lonjakan mendadak selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengeluarkan amaran kepada penduduk Tehran supaya segera meninggalkan ibu kota Iran, lapor AFP.

Amaran tersebut mencetuskan semula kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya perang besar antara Iran dan Israel. Situasi itu menyebabkan pelabur bimbang akan gangguan terhadap pengeluaran minyak di Asia Barat.

Trump dalam kenyataan di media sosial menegaskan Iran sepatutnya menandatangani perjanjian nuklear seperti yang dicadangkan. Beliau mengulangi pendiriannya bahawa Iran tidak boleh memiliki senjata nuklear.

“Iran sepatutnya tandatangan perjanjian yang saya suruh mereka tandatangani. Sangat merugikan, membazir nyawa manusia. Iran tidak boleh mempunyai senjata nuklear. Saya tetap akan cakap berulang kali. Semua orang perlu keluar dari Tehran serta-merta,” katanya.

Berikutan kata-kata keras daripada Trump itu, harga minyak mentah Brent North Sea meningkat 1.4 peratus kepada USD74.25 setong. Manakala minyak mentah West Texas Intermediate naik 1.6 peratus kepada USD72.94 setong sekitar jam 2.30 pagi waktu GMT.

Sebelum ini, harga minyak sempat menurun selepas peniaga menganggarkan bahawa konflik tidak akan menular ke seluruh Asia Barat. Perkara ini disebabkan kemudahan pengeluaran minyak utama masih tidak terjejas.

Namun, kenyataan Trump telah menambah tekanan terhadap pasaran terutama apabila ketegangan antara Israel dan Iran terus memuncak.

Israel dilaporkan terus menggempur wilayah musuhnya dan menyatakan kempen ketenteraan itu sedang ‘mengubah wajah Asia Barat’.

Trump juga meninggalkan Sidang Kemuncak G7 di Kanada lebih awal daripada jadual sebenar.

“Saya perlu kembali segera. Saya ingin berada di sini untuk esok tetapi mereka faham. Perkara ini memang besar,” kata beliau.

Sebelum ini, Wall Street Journal melaporkan bahawa Tehran menunjukkan isyarat mahu meredakan ketegangan dan bersedia menyambung semula rundingan nuklear dengan Washington.

Di sebalik ketegangan tersebut, pelabur saham di Asia kelihatan lebih optimistik. Indeks utama di Tokyo, Sydney, Seoul, Singapura dan Taipei masing-masing mencatatkan kenaikan. Namun, pasaran di Hong Kong dan Shanghai sedikit tertekan.

Menurut Rodrigo Catril dari National Australia Bank, aset berisiko memulakan minggu baharu dengan positif berikutan konflik masih tertumpu antara dua negara tanpa sebarang tanda akan merebak.

Sementara itu, kapal pengangkut pesawat USS Nimitz meninggalkan Asia Tenggara selepas membatalkan lawatan ke Vietnam. Pentagon mengumumkan penghantaran keupayaan tambahan ke Asia Barat sebagai langkah berjaga-jaga.

Dalam perkembangan lain, pemimpin-pemimpin G7 dilaporkan mendesak Trump supaya membatalkan rancangannya untuk mengenakan tarif tambahan bulan depan yang dianggap boleh menjejaskan kestabilan ekonomi global.

Pelabur turut menantikan keputusan bank pusat minggu ini, termasuk Bank of Japan yang dijangka mengekalkan kadar faedah tetapi mungkin mengubah dasar pembelian bon mereka.

Sumber: AFP

BACA: Boleh Angkut Barang Hingga 1.2 Tan, Kenali Dron Kargo Canggih China

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.