Siakap Keli
trump tinggalkan sidang g7
Kredit: AFP

Konflik Israel-Iran: Trump Tinggalkan Sidang Kemuncak G7 Lebih Awal

Konflik Israel-Iran: Trump Tinggalkan Sidang Kemuncak G7 Lebih Awal

KANANASKIS – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump meninggalkan Sidang Kemuncak G7 lebih awal pada Isnin selepas mengeluarkan amaran keras agar penduduk ibu kota Iran, Tehran segera berpindah susulan konflik semakin memuncak antara Israel dan Iran, lapor AFP.

Trump yang berada di Kanada untuk menyertai perbincangan bersama pemimpin G7 mengenai penyelesaian rundingan damai, menzahirkan sokongan terhadap Israel menerusi kenyataan di media sosial.

“Semua orang perlu segera berpindah dari Tehran,” katanya menerusi platform Truth Social.

Beberapa jam kemudian, Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt mengesahkan Trump akan kembali ke Washington lewat Isnin. Ia sehari lebih awal berbanding jadual asal disebabkan krisis yang sedang berlaku.

Berikutan itu, Trump tidak akan menyertai sesi pertemuan yang dijadual berlangsung pada Selasa bersama pemimpin Ukraine dan Mexico di pusat peranginan Rockies, Kananaskis.

Walaupun beliau enggan mengesahkan penglibatan AS dalam tindakan ketenteraan Israel, Trump memaklumkan bakal melakukan sesuatu selepas meninggalkan sidang kemuncak tersebut.

“Sebaik sahaja saya tinggalkan tempat ini, kami akan lakukan sesuatu. Tetapi saya perlu pergi dari sini,” katanya kepada wartawan.

Trump turut menyifatkan Iran sebagai pihak yang tidak akan menang dalam peperangan ini.

“Ia memberi kesan buruk kepada kedua belah pihak tetapi saya menjangkakan Iran tidak akan menang peperangan ini. Mereka perlu berbincang dengan segera sebelum terlambat,” ujar Trump.

Terdahulu, Israel telah melancarkan serangan ke atas beberapa tapak nuklear dan ketenteraan utama Iran. Beberapa komander dan saintis nuklear negara itu turut terbunuh. Sebagai tindak balas, Iran melancarkan serangan menggunakan dron dan peluru berpandu ke atas Israel.

Beberapa pemimpin G7 seperti dari Kanada dan Eropah sedang mengusahakan kenyataan bersama, namun diplomat memaklumkan Trump tidak memberi komitmen untuk AS menyertai kenyataan tersebut.

Kebanyakan negara G7 termasuk Britain, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, Kanada dan AS menyatakan sokongan terhadap Israel, namun berlaku kebimbangan apabila keganasan semakin meningkat.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron menyeru Israel agar tidak menyasarkan orang awam di Iran. Sementara itu, Canselor Jerman, Friedrich Merz menyatakan sokongan mereka terhadap Israel.

“Kami akan ketengahkan hak sah Israel untuk mempertahankan diri. Kami juga akan membincangkan langkah-langkah tambahan yang berpotensi untuk mencapai penyelesaian diplomatik,” ujar beliau.

Sumber: AFP

BACA: 21 Negara Arab, Islam Kecam Serangan Udara Israel Ke Atas Iran

BACA: Penyampai Berita Berdepan Detik Cemas, Stesen TV Iran Diserang Israel

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.