Siakap Keli
iran gantung perisik israel
Kredit: Artur Widak/NurPhoto/NurPhoto via AFP

Iran Kenakan Hukuman Gantung Terhadap Lelaki Didakwa Perisik Israel

Iran Kenakan Hukuman Gantung Terhadap Lelaki Didakwa Perisik Israel

TEHRAN, 23 Jun – Seorang lelaki yang didakwa bersalah menjalankan kegiatan perisikan untuk Israel telah dihukum gantung oleh pihak berkuasa Iran pada pagi Isnin, lapor AFP.

Perkara ini dimaklumkan menurut kenyataan badan kehakiman negara itu.

“Tertuduh telah dihukum mati pagi ini atas tuduhan bekerjasama dengan Israel,” kata kenyataan rasmi kehakiman.

Tertuduh didapati mempunyai kaitan dengan agensi perisikan luar Israel, Mossad. Beliau turut disabitkan dengan kesalahan bekerjasama dengan saluran televisyen berbahasa Parsi, Iran International, yang berpangkalan di London dan sering mengkritik kerajaan Iran.

Pihak berkuasa Iran juga menganggap saluran tersebut mempunyai kaitan langsung dengan Israel.

Ketika tunjuk perasaan besar-besaran seluruh negara pada tahun 2022 yang tercetus susulan kematian Mahsa Amini ketika dalam tahanan, saluran tersebut telah dilabel sebagai “organisasi pengganas” oleh kerajaan.

Amini, seorang wanita muda Kurdish dari Iran, ditahan kerana didakwa melanggar kod pemakaian ketat yang dikenakan terhadap wanita oleh Republik Islam itu.

Sementara itu, Iran secara berkala mengumumkan penahanan dan hukuman mati terhadap individu yang dituduh terlibat dengan agensi perisikan asing, khususnya Israel yang dianggap musuh utama negara berkenaan.

Pada Ahad, pihak berkuasa memberi jaminan bahawa proses kes-kes berkaitan keselamatan akan disegerakan. Pada hari yang sama, pihak kehakiman turut mengumumkan pelaksanaan hukuman mati terhadap Majid Mosayebi yang turut disabitkan sebagai ejen perisik untuk Mossad.

“Kes berkaitan keselamatan, khususnya yang melibatkan sokongan terhadap rejim perampas (Israel) dan bertindak sebagai tali barut musuh akan dikendalikan dengan lebih pantas,” tegas Ketua Kehakiman Iran, Gholamhossein Mohseni Ejei kepada televisyen negara.

Menurut kumpulan hak asasi manusia seperti Amnesty International, Iran kini merupakan negara kedua tertinggi di dunia dalam pelaksanaan hukuman mati, selepas China.

Sumber: AFP

BACA: 11 Negara Paling Selamat Berlindung Jika Perang Dunia Ke-3 Meletus

BACA: Peluru Berpandu Hipersonik Sukar Dipintas, Ini Sebabnya

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.