Konflik Iran-Israel: Malaysia Hargai Peranan Qatar Dalam Usaha Gencatan Senjata
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memaklumkan bahawa beliau telah mengadakan perbualan telefon bersama Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani.
Perbualan itu berlangsung petang tadi dan menyentuh mengenai perkembangan terkini konflik bersenjata yang melibatkan Iran, Israel serta Amerika Syarikat.
Menurut Perdana Menteri, beliau merakamkan penghargaan kepada Sheikh Tamim atas peranan penting Qatar dalam memeterai gencatan senjata antara ketiga-tiga negara tersebut.
“Ini adalah satu langkah penting yang berjaya meredakan ketegangan serta mengelakkan pertembungan dan konflik yang lebih besar di rantau Asia Barat,” kata beliau.
Anwar memaklumkan bahawa Sheikh Tamim menyedari Qatar turut berada dalam kedudukan sukar ketika konflik itu semakin meruncing.
Namun begitu, Sheikh Tamim memilih untuk melihat gambaran yang lebih besar demi menjamin keamanan seluruh rantau berkenaan.
“Saya menghargai ketegasan dan keikhlasan beliau dalam mendukung usaha perdamaian ini,” jelas Perdana Menteri.
Beliau turut menyatakan bahawa Malaysia menghargai peranan berterusan Qatar dalam rundingan gencatan senjata antara Palestin dan Israel.
Anwar berkata, Sheikh Tamim juga memaklumkan bahawa beliau telah berhubung dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Dalam perbualan itu, Emir Qatar dan Presiden Trump berbincang mengenai usaha diplomasi ke arah perdamaian di Asia Barat.
“Beliau menggunakan kesempatan itu untuk menggesa Amerika Syarikat menumpukan usaha ke arah menghentikan serangan di Gaza serta mewujudkan perdamaian yang adil dan berkekalan,” ujar Anwar.
Sementara itu, Anwar menegaskan bahawa Malaysia akan terus menyokong segala ikhtiar ke arah penyelesaian damai yang adil dan bermaruah.
Tambah beliau, penyelesaian tersebut mesti berteraskan prinsip keadilan sejagat serta kedaulatan semua negara terbabit.
Anwar turut menegaskan bahawa rundingan yang jujur dan ikhlas adalah penting dalam menjamin keamanan jangka panjang.
Katanya lagi, menghormati hak setiap negara merupakan syarat mutlak untuk membina keamanan yang berkekalan.
Sumber: Anwar Ibrahim
BACA: Konflik Iran-Israel: Penerbangan Balik Jemaah Haji Dijadual Semula
BACA: Iran Sedia Henti Tindakan Ketenteraan Jika Israel Hentikan Serangan – PM Anwar