Media Iran Lapor Gelombang Baharu Peluru Berpandu Dilancar Ke Arah Israel
TEHRAN — Media rasmi Iran, Irib melaporkan bahawa satu lagi gelombang peluru berpandu telah dilancarkan dari Iran menuju ke Israel, meskipun Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sebelum ini mengumumkan pelaksanaan gencatan senjata secara berperingkat, lapor AFP.
Menurut kenyataan yang dimuat naik oleh Irib di platform Telegram, ini merupakan gelombang keempat serangan peluru berpandu yang dilancarkan oleh Iran ke arah wilayah Israel sejak permulaan konflik terkini.
“Gelombang keempat peluru berpandu dilancarkan dari Iran ke arah Israel,” lapor Irib ringkas
Sebelum ini Trump pada hari ini mengumumkan bahawa Iran dan Israel telah bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata secara berperingkat bermula Selasa, yang dijangka akan membawa kepada penamatan rasmi konflik antara kedua-duanya.
“Telah dipersetujui sepenuhnya antara Iran dan Israel bahawa akan berlaku GENCATAN SENJATA SEPENUHNYA,” tulis Trump pada Isnin malam menerusi platform Truth Social miliknya.
Bagaimanapun, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Iran atau Israel bagi mengesahkan persetujuan tersebut.
Menurut perincian yang dikemukakan oleh Trump, gencatan senjata itu akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh 24 jam, bermula sekitar jam 0400 GMT (12pm waktu Malaysia) pada Selasa.
Tambahnya, Iran juga dijangka menghentikan semua operasinya secara unilateral terlebih dahulu, diikuti Israel 12 jam kemudian.
“Apabila tiba jam ke-24, penamatan rasmi perang selama 12 hari itu akan diraikan oleh seluruh dunia,” katanya, sambil menambah bahawa kedua-dua pihak bersetuju untuk kekal “aman dan saling menghormati” sepanjang setiap fasa proses tersebut.
Sumber: AFP