Siakap Keli
lyon diturunkan ligue 2
Gambar: AFP

Alami Krisis Kewangan, Lyon Turun Ligue 2

Alami Krisis Kewangan, Lyon Turun Ligue 2

PARIS —Dunia bola sepak Perancis digemparkan dengan berita Olympique Lyonnais, salah satu kelab paling ikonik dalam sejarah bola sepak negara itu, diturunkan ke Ligue 2 bagi musim 2025/26.

Keputusan itu dibuat oleh badan pemantau kewangan bola sepak profesional Perancis Direction Nationale du Contrôle de Gestion (DNCG), susulan kegagalan kelab memenuhi syarat kewangan yang ditetapkan.

Menurut laporan media tempatan, Lyon kini sedang menghadapi krisis kewangan serius dengan beban hutang dianggarkan mencecah €175 juta.

Walaupun kelab itu sebelum ini telah diberikan amaran sehingga pertengahan 2025 untuk menyelesaikan isu itu, namun tiada jalan penyelesaian ditemui sebelum tarikh akhir.

Kelab yang dimiliki oleh ahli perniagaan Amerika, John Textor itu kini menerima pelbagai kritikan hebat ekoran masalah berkenaan.

Untuk makluman, Olympique Lyonnais, atau lebih dikenali sebagai Lyon, merupakan kuasa besar bola sepak Perancis pada awal 2000-an.

Kelab itu pernah memenangi tujuh kejuaraan Ligue 1 berturut-turut dari 2002 hingga 2008

Selain itu, mereka turut menjuarai lima Piala Perancis, lapan Piala Super, dan satu Piala Liga.

Di peringkat Eropah, Lyon juga merupakan nama yang sering muncul dalam saingan Liga Juara-Juara UEFA.

Antara nama besar yang pernah mewakili kelab ini termasuk Karim Benzema, Hugo Lloris, Juninho Pernambucano, Alexandre Lacazette, Sonny Anderson, dan Lisandro López.

Penurunan ke Ligue 2 ini bukan hanya kekalahan dari segi kompetitif, tetapi turut dianggap sebagai krisis identiti dan struktur buat sebuah kelab yang dahulunya dijadikan contoh teladan pengurusan dalam bola sepak moden Perancis.

Sekiranya rayuan terhadap keputusan ini tidak berjaya, Lyon akan secara rasmi memulakan musim 2025–26 di saingan Ligue 2

Sumber: BeinSport

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.