Mesyuarat Majlis Benih Negara Bilangan 1 Tahun 2025
PUTRAJAYA, 25 JUN 2025 – YB Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Benih Negara (MBN) Bilangan 1 Tahun 2025 pada 24 Jun 2025. Mesyuarat tersebut melibatkan keahlian pelbagai wakil dari kementerian, agensi Kerajaan dan pakar dalam industri benih daripada sektor swasta.
Dengan cabaran semasa seperti perubahan iklim yang memerlukan pembangunan varieti benih dan baka baharu yang lebih berdaya tahan serta ketidaktentuan geopolitik dunia, inisiatif MBN sudah tentunya sangat relevan untuk KPKM demi keterjaminan benih negara.
Di Malaysia, kebergantungan terhadap import benih adalah tinggi di mana sebanyak 90% benih sayur-sayuran diimport pada tahun 2024 selain bergantung sepenuhnya kepada import benih tembikai dengan nilai import sebanyak RM2.7 juta. Kebergantungan tinggi terhadap import benih ini menunjukkan perlunya usaha yang lebih strategik bagi membangunkan industri benih tempatan.
Antara keputusan penting mesyuarat ialah penubuhan Majlis Penasihat MBN yang dianggotai dalam kalangan pakar-pakar industri sub sektor tanaman, ternakan dan perikanan untuk menasihati MBN. Selain itu, MBN juga turut bersetuju supaya MARDI diberi mandat sebagai agensi penyelidikan, pembangunan, komersialisasi dan inovasi sektor pertanian di bawah KPKM yang akan menerajui inisiatif hab benih negara untuk memacu pembangunan benih dan baka tempatan bagi ketiga-tiga sub sektor utama tersebut. MBN juga turut bersetuju dengan cadangan pembangunan pure line ayam pedaging dan penelur tempatan selain mempergiatkan usaha pengkomersialan baka Ayam Saga (ayam kampung) yang telah dimulakan sejak 2008.
Di samping isu-isu penyelidikan dan pengkomersialan benih dan baka tempatan, MBN turut membincangkan cabaran dan langkah ke hadapan untuk menangani cabaran dan memastikan kelestarian pengeluaran agromakanan khususnya menerusi pembaharuan dasar dan kerjasama lebih erat di antara negeri-negeri serta wilayah di Malaysia.
Mesyuarat turut mengambil maklum mengenai usaha Jabatan Pertanian dalam aktiviti pengesahan benih tanaman supaya tulen dan berkualiti. Di samping itu, KPKM menerusi Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan Jabatan Perikanan (DOF) juga akan turut memberi tumpuan kepada pembangunan semula baka lembu susu Mafriwal 2.0 dan pelaksanaan program baka dan benih ternakan akuakultur melalui Pelan Nucleus Breeding Centre (NBC) dan Broodstock Multiplier Centre (BMC) terutamanya benih udang galah. Adalah dianggarkan sebanyak RM1.17 bilion diperlukan untuk Inisiatif Pembangunan Agenda Keterjaminan Benih Negara dalam tempoh 15 tahun akan datang.
KPKM berkeyakinan penuh bahawa dengan pelaksanaan agenda ini, Malaysia berpotensi besar untuk mencapai tahap kemandirian dalam sub sektor benih agromakanan tempatan sekaligus memperkukuhkan agenda keterjaminan makanan negara.