Polis Filipina Diberi Amaran, Turun Berat Badan Atau Dipecat
Anggota polis di Filipina yang mempunyai berat badan berlebihan diberi tempoh satu tahun untuk menurunkan berat badan atau berisiko kehilangan pekerjaan.
Amaran tegas ini dikeluarkan oleh Ketua Polis Negara Filipina (PNP) yang baharu, Jeneral Nicolas D. Torre III.
Difahamkan, arahan tersebut adalah sebahagian daripada usaha beliau melaksanakan reformasi besar-besaran dalam pasukan keselamatan itu.
“Selepas setahun, (mereka akan) dipisahkan daripada perkhidmatan,” kata Jeneral Torre kepada media tempatan GMA News Online pada Selasa, 17 Jun.
Perlu kekal dalam julat berat ideal
Menurut undang-undang sedia ada, setiap anggota polis perlu mempunyai berat badan yang tidak lebih atau kurang 5 kilogram daripada berat ideal berdasarkan ketinggian, umur dan jantina.
Anggota yang gagal mencapai standard ini akan diberi tempoh enam bulan hingga setahun untuk menurunkan berat badan. Namun selepas tempoh itu, tindakan pemecatan boleh dikenakan.
Walau bagaimanapun, Jeneral Torre menjelaskan bahawa pertimbangan khas akan diberikan kepada mereka yang mengalami masalah kesihatan.
Anggota yang mempunyai keadaan perubatan tertentu mungkin akan diberikan tugasan pentadbiran atau dilepaskan sepenuhnya atas dasar ketidakupayaan.
Komisen Polis Kebangsaan turut akan dirujuk bagi menentukan nasib anggota yang terlibat.
Jurucakap rasmi PNP turut menyatakan kepada One News bahawa Jeneral Torre percaya anggota polis yang sihat dari segi fizikal mencerminkan disiplin dalam pasukan.
“Oleh itu, setiap anggota perlu menjaga penampilan fizikal yang sesuai dan diterima bagi seorang anggota polis,” katanya.
PNP menyarankan agar semua anggota memantau indeks jisim badan (BMI) masing-masing.
Namun, tiada pendekatan khusus akan ditetapkan oleh pasukan untuk membantu anggota menurunkan berat badan. Kaedah senaman dan gaya hidup adalah pilihan individu masing-masing.
Lapan pegawai dipecat kerana gagal patuh arahan
Sejak memulakan tugas secara rasmi pada 2 Jun, Jeneral Torre telah memulakan pelbagai reformasi termasuk memperketatkan syarat disiplin terhadap anggota.
Pada 17 Jun, The Philippine Star melaporkan bahawa lapan ketua polis telah dilucutkan jawatan kerana gagal mematuhi arahan untuk bertindak dalam masa lima minit terhadap sebarang masalah ketenteraman awam.
“Jika mereka tidak mampu mencapai standard itu, kita akan cari komander lain yang boleh. Ini komitmen kita kepada Presiden dan rakyat Filipina,” tegas Jeneral Torre.
Namun beliau turut mengakui bahawa ada kawasan yang mungkin sukar mencapai masa tindak balas lima minit, dan polisi ini akan dinilai secara fleksibel.
“Saya pernah melaksanakannya sendiri ketika mengetuai Polis Daerah Quezon City. Ia boleh dilakukan. Jadi, tiada alasan kenapa yang lain tidak boleh,” katanya lagi.
BACA: Bayi 18 Bulan Koma Dipercayai Dihentak Kuat Ke Lantai
BACA: Pelancong Brazil Terjatuh Di Gunung Rinjani Disahkan Maut
BACA: Presiden Iran Umum “Perang 12 Hari” Tamat
Sumber: GMA News Online, MS News