Iran Sahkan Ketua IRGC Ali Shadmani Meninggal Dunia, Ikrar Bertindak Balas
TEHRAN — Angkatan Tentera Iran mengesahkan kematian komander tertinggi Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Jeneral Ali Shadmani, terbunuh dalam serangan udara oleh Israel minggu lalu, lapor AFP.
Menurut laporan agensi berita rasmi IRNA yang memetik kenyataan Ibu Pejabat Pusat Khatam al-Anbiya yang dipimpin Shadmani, mengumumkan beliau meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialami dalam serangan tersebut.
Pengesahan kematian Shadmani dibuat sehari selepas gencatan senjata yang diumumkan Amerika Syarikat menamatkan konflik terbuka selama 12 hari antara Israel dan Iran.
Dalam kenyataan tersebut, pihaknya turut berikrar akan bertindak balas dan menyifatkan tindakan Israel sebagai jenayah kejam.
Israel sebelum ini mendakwa telah melancarkan serangan ke atas sebuah pusat arahan di tengah bandar Tehran pada 17 Jun, yang menyasarkan Shadmani.
Kematian Shadmani berlaku hanya beberapa hari selepas beliau mengambil alih jawatan daripada Jeneral Gholam Ali Rashid, yang turut terbunuh dalam fasa awal serangan Israel.
Pada 13 Jun, Israel melancarkan kempen pengeboman besar-besaran menyasarkan kemudahan nuklear Iran dan tokoh-tokoh ketenteraan kanan.
Amerika Syarikat kemudiannya menyertai operasi dengan menyerang tapak nuklear di Fordo, Isfahan dan Natanz.
Iran membalas dengan beberapa gelombang serangan peluru berpandu ke arah Israel serta satu serangan ke atas pangkalan tentera AS di Qatar.
Susulan itu, Presiden Donald Trump menggesa penamatan segera konflik dan mengumumkan gencatan senjata yang berkuat kuasa pada Selasa.
Menurut angka rasmi, perang tersebut telah meragut nyawa 627 orang awam di Iran dan 28 orang di Israel.
Iran dijadualkan mengadakan upacara pengebumian negara pada Sabtu ini bagi menghormati komander-komander kanan tentera termasuk Shadmani, serta saintis terkemuka yang terkorban dalam perang dengan Israel.
Sumber: AFP via Barrons