Anwar, Prabowo Sepakat Tingkat Kerjasama Strategik, Bangunkan Kawasan Ambalat
JAKARTA, 27 Jun (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto menyatakan komitmen kedua-dua negara untuk mempercepat kerjasama strategik dalam pelbagai bidang, termasuk pembangunan bersama di wilayah sempadan maritim Malaysia dan Indonesia di Ambalat secara damai dan saling menguntungkan.
Pada sidang media bersama selepas pertemuan dua hala di Istana Merdeka di sini hari ini, Anwar berkata kedua-dua negara harus mempertimbangkan kerjasama ekonomi termasuk di kawasan sempadan maritim yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Kalau nampaknya masih buntu sedikit perundingan dari segi hukum, peraturan dan undang-undang, maka tidak ada halangan untuk kita segerakan kerjasama ekonomi termasuk yang disinggung (Prabawo) tadi mengenai joint development authority.
“Kalaupun di kawasan Ambalat, kerana kalau kita tunggu selesai kadang mungkin mengambil masa dua dekad lagi. Jadi kita manfaatkan waktu ini untuk mendapat hasil supaya memberi keuntungan kepada kedua-dua negara dan membela nasib rakyat kita di kawasan yang agak jauh di perbatasan,” kata Anwar.
Perdana Menteri mengulas kenyataan Prabowo agar kedua-dua negara mempercepat penyelesaian isu-isu teknikal berkaitan sempadanan dan maritim.
BACA: Lawatan Rasmi PM Anwar Ke Indonesia Perkukuh Hubungan Akrab Dua Negara
“Terkait isu perbatasan, yang secara teknikal mungkin memerlukan waktu, kita sepakat untuk mencari penyelesaian yang saling menguntungkan. Contohnya ialah wilayah Ambalat, sambil menunggu penyelesaian hukum, kita ingin memulakan kerja sama ekonomi melalui mekanisme pembangunan bersama,” kata Prabowo.
Kedua-dua pemimpin turut menyatakan komitmen meningkatkan kerjasama dalam bidang penyelidikan pendidikan, kebudayaan, perdagangan dan pelaburan dalam suasana ekonomi yang tidak menentu ekoran tarif yang dikenakan Amerika Syarikat.
Anwar dan Prabowo juga sepakat untuk mengadakan Perundingan Tahunan Malaysia-Indonesia ke-13, bulan hadapan.
Menyentuh isu Myanmar, Anwar berkata Malaysia bertekad untuk menyelesaikan sengketa itu dengan baik serta disokong oleh Indonesia yang mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam pengurusan konflik.
“Kita juga zahirkan keprihatinan tentang isu sempadan Thailand dan Kemboja dan merasakan perlu untuk mendekati kedua-dua negara demi meredakan ketegangan,” kata beliau.
Anwar yang berada di Jakarta sempena lawatan rasmi sehari, diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil; dan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Sejurus selesai pertemuan dengan Prabowo, Anwar dan delegasi pulang ke Kuala Lumpur dari Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma di Jakarta Timur sekitar 5 petang waktu tempatan.
Sumber: BERNAMA