Baja Malaysia Jadi Buruan Petani Negara Jiran, Ahli Politik Indonesia Dedah Ini Sebabnya
Baja keluaran Malaysia kini menjadi ‘kegilaan’ di Kabupaten Nunukan, khususnya di Pulau Sebatik, wilayah perbatasan Indonesia–Malaysia.
Menurut laporan media tempatan, hal ini dipercayai berpunca daripada krisis kekurangan baja yang kian meruncing di daerah tersebut.
Difahamkan, ramai petani tempatan terpaksa membeli baja dari Tawau, Sabah walaupun harganya jauh lebih mahal berbanding baja subsidi dari kerajaan Indonesia.
Tambah laporan itu, baja Malaysia dijual sekitar Rp1,050,000 (kira-kira RM271.95) bagi setiap karung. Manakala, baja subsidi tempatan hanya berharga Rp165,000 (kira-kira RM42.74).
Namun, petani tetap memilih baja dari Malaysia.
Kualiti baja Malaysia lebih meyakinkan
Anggota Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Nunukan, Adama, menjelaskan bahawa ramai petani di kawasan berkenaan adalah bekas pekerja ladang di Malaysia dan sudah terbiasa menggunakan baja Malaysia.
Menurutnya, mereka pernah menyaksikan sendiri keberkesanan baja tersebut terhadap hasil tuaian. Walaupun harganya mahal, petani tempatan sanggup membelinya kerana yakin dengan hasilnya.
Sebaliknya, baja subsidi yang dibekalkan kerajaan pula kurang memuaskan.
Isu penguatkuasaan dan keperluan mendesak
Bagaimanapun, pembelian baja dari Malaysia sering berdepan masalah apabila disekat oleh pihak berkuasa atas alasan pembelian tersebut dianggap sebagai aktiviti haram atau tidak sah dari sisi undang-undang.
“Ini merupakan tanggungjawab besar buat pihak pemerintah daerah dan juga agensi penguat kuasa. Saya merayu agar masyarakat yang membeli baja dari Malaysia tidak terus ditahan. Memang dari segi undang-undang mereka mungkin bersalah, tetapi keadaan memaksa mereka berbuat demikian.
“Dan perlu diingat, kita berada di kawasan sempadan negara, jadi wujud keperluan kepada dasar tempatan yang lebih fleksibel. Jika ada pembelian dalam jumlah besar, ia bukan semestinya untuk dijual semula, tetapi mungkin kerana stok baja di Malaysia ketika itu tiada. Itu berbeza dengan kes penyeludupan baja ke luar Nunukan,” kata Adama.
Dalam pada itu, sebagai langkah jangka panjang, kerajaan daerah digesa segera melaksanakan program pembangunan pertanian yang mampan.
Salah satu inisiatif yang dinantikan ialah penubuhan Koperasi Merah Putih, yang diharap dapat memastikan bekalan baja mencukupi di kawasan sempadan.
Jelas Adama, kerajaan daerah Nunukan melalui Jabatan Pertanian sepatutnya sudah mempunyai data lengkap mengenai jumlah petani yang memerlukan baja.
Nama-nama mereka seharusnya dipaparkan di tempat jualan baja atau di koperasi agar pengagihan dapat dibuat dengan lebih tepat dan menyeluruh.
“Sekiranya penubuhan Koperasi Merah Putih berjaya dilaksanakan kelak, kita berharap baja akan menjadi produk utama yang ditawarkan. Ini kerana Nunukan benar-benar sangat memerlukan bekalan baja,” ujar Adama lagi.
BACA: Ini Perbezaan Pemain Warisan Malaysia Dengan Indonesia – Media Indonesia
BACA: Media Indonesia ‘Pelik’ Dengan Harimau Malaya
BACA: Indonesia Dakwa Malaysia Ada ‘Harta Karun’ Bernilai
Sumber: Kompas.com