Siakap Keli
MAIWP Beri Kepercayaan Kepada Bank Rakyat Sebagai Bank Pertama Urus Dana Wakaf

MAIWP Beri Kepercayaan Kepada Bank Rakyat Sebagai Bank Pertama Urus Dana Wakaf

MAIWP Beri Kepercayaan Kepada Bank Rakyat Sebagai Bank Pertama Urus Dana Wakaf

KUALA LUMPUR, 1 JULAI 2025 – Bank Rakyat secara rasmi dilantik sebagai bank  pertama di Malaysia oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebagai  Mutawalli, pihak yang diberi mandat untuk melaksanakan kutipan, pengurusan dan  agihan dana wakaf tunai menerusi inisiatif Jāriah Al-Barakah. 

Pelantikan ini dimeterai melalui Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Pelantikan  Mutawalli yang diadakan di Menara Kembar Bank Rakyat dan disaksikan oleh wakil  pengurusan tertinggi Bank Rakyat dan MAIWP. 

Menurut Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak, pelantikan rasmi  tersebut diterima pada 30 Disember 2024 dan merupakan satu penghargaan besar  kepada Bank Rakyat atas kepercayaan yang diberikan untuk menggalas amanah  pengurusan dana wakaf. 

“Pelantikan Bank Rakyat sebagai Mutawalli tidak berlaku secara serta-merta, sebaliknya  melalui satu proses yang tersusun dan mengambil masa lebih setahun. Ia bermula  pada 2 April 2024 dengan kelulusan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah  Persekutuan dan disusuli dengan beberapa peringkat kelulusan, pemeteraian perjanjian  rasmi serta pelantikan rakan strategik. Proses ini selesai sepenuhnya dengan  pelaksanaan rasmi Wakaf Tunai Bank Rakyat pada 1 Jun 2025,” katanya. 

Tambah beliau, setiap langkah yang dilalui mencerminkan komitmen Bank Rakyat dan  MAIWP terhadap tadbir urus yang baik, ketelusan serta pematuhan Syariah dalam  memastikan pelaksanaan wakaf ini dapat dijalankan secara beramanah dan berkesan. 

Inisiatif wakaf tunai ini diperkenalkan dengan nama Jāriah Al-Barakah, yang akan  menjadi platform rasmi Bank Rakyat untuk menggerakkan kutipan dan pengurusan dana  wakaf secara sistematik dan inklusif.

Platform Jāriah Al-Barakah akan dikendalikan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bersama  yang terdiri daripada wakil MAIWP, Bank Rakyat serta pakar Syariah dan kewangan  Islam, Prof. Dr. Azman Mohd Noor dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)  selaku pengerusi. 

“Sebagai institusi kewangan Islam, kami percaya bahawa wakaf bukan sekadar amalan  kebajikan, tetapi merupakan satu bentuk pelaburan akhirat yang memberi ganjaran  berterusan. Kami menggalakkan masyarakat untuk bersama-sama menyokong dan  memperluas manfaat wakaf ini demi kesejahteraan ummah,” tambah beliau. 

Pelantikan ini merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh peranan institusi  kewangan dalam menyokong pembangunan ekosistem wakaf negara secara mampan,  telus dan berintegriti. 

Orang ramai yang ingin menyumbang kepada dana wakaf tunai ini boleh berbuat  demikian melalui pelbagai saluran yang disediakan, termasuk imbasan Kod QR,  pindahan terus ke akaun Bank Rakyat (1101464122), JomPay menggunakan Kod Biller  26492 atau melalui platform digital ToyyibPay di pautan https://toyyibpay.com/JariahAlbarakah

Siti Sakinah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.