Kelas Murajaah Hafazan Al-Quran Bakal Diwujudkan Di Semua Institusi Pendidikan MARA
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengumumkan bahawa kelas khas mengulang kaji hafazan Al-Quran bakal diperkenal di kesemua institusi pendidikan kelolaan MARA.
Pengumuman tersebut disampaikan menerusi laman Facebook peribadinya pagi tadi.
“Semua 344 Institusi Pendidikan MARA akan diwujudkan kelas khas Murajaah (Ulangkaji) hafazan Al-Quran bagi memastikan keseimbangan antara akademik atau teknikal dan kelestarian hafazan Al-Quran dapat diperkasa dan dipelihara,” umum Asyraf.
Terdahulu, beliau berkongsi aktiviti murajaah hafazan Al-Quran bersama anaknya, Ammar yang juga seorang penuntut di Universiti Islam Madinah.
“Malam ini seperti kelaziman bila ada ruang waktu antara Magrib dan Isyak, saya ambil peluang untuk mentasmik dan tebuk hafazan Ammar,” kongsi beliau.
Difahamkan, anak lelaki sulung beliau kini sedang bercuti dengan tanggungan tiket oleh pihak universiti.
Menerusi perkongsian berkenaan, beliau turut berpesan kepada para penghafaz Al-Quran agar sentiasa mengadakan murajaah.
“Untuk para huffaz, jangan ingat bila dah hafal Quran, akan mudah ingat sampai bila-bila. Bahkan nak mengekalkan hafazan lebih sukar.
“Sebab itu saya selalu pesan kepada anak-anak huffaz di institusi Pendidikan MARA tidak kira yang berada di Giat Mara, MRSM, IKM, KKTM, KPM, UniKL, UPTM dan lain-lain sentiasa murajaah,” titip beliau.
Sumber: Dr Asyraf Wajdi Dusuki (1) (2)