Ketahui Usia Bumi, Cara Saintis Mengetahuinya & Sampai Bila Bumi Akan Bertahan
Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa usia rasmi bumi ialah kira-kira 4.54 bilion tahun. Angka ini telah ditetapkan sejak tahun 1950-an dan masih kekal hingga kini walaupun sains terus berkembang.
Jadi, bagaimana sebenarnya para saintis menentukan usia bumi, dan berapa lama lagi bumi mampu bertahan sebelum musnah
Teori awal tentang usia bumi
Usaha untuk mengetahui usia bumi telah dilakukan sejak ratusan tahun dahulu.
Ahli falsafah Yunani purba, Aristotle, percaya bahawa masa tidak mempunyai mula atau akhir, dan bumi sudah wujud sejak dahulu lagi.
Di India purba, sarjana agama menganggarkan bumi berusia kira-kira 1.97 bilion tahun. Anggaran ini berdasarkan kepercayaan bahawa alam semesta sentiasa meletup, mengembang dan runtuh berulang kali.
Dalam zaman pertengahan, ahli teologi Kristian pula cuba mengira usia bumi berdasarkan tafsiran Bible, dan hasilnya adalah antara 5,471 hingga 7,519 tahun, menurut buku The Age of the Earth oleh G. Brent Dalrymple.
Pada abad ke-18 dan ke-19, saintis mula membuat anggaran berdasarkan kadar penyejukan bumi, pengumpulan sedimen dan perubahan kimia dalam lautan.
Namun, semua pendekatan ini hanya memberikan anggaran yang sangat berbeza-beza.
Penemuan kaedah bertarikh radiometrik
Kemajuan sebenar datang apabila saintis memperkenalkan kaedah radiometrik, iaitu kaedah pengiraan usia batuan menggunakan kadar pereputan unsur radioaktif.
Unsur ini akan berubah secara semula jadi dari bentuk asal (isotop induk) kepada bentuk stabil (isotop anak) dalam jangka masa tertentu.
Dengan mengukur nisbah antara isotop induk dan anak, saintis boleh mengira usia batuan itu dengan tepat.
Pada awal abad ke-20, saintis seperti Bertram Boltwood memulakan penggunaan teknik ini, dan ia kemudian diperhalusi serta digunakan untuk mengkaji batuan bulan yang dibawa pulang melalui misi Apollo pada 1960-an dan 1970-an.
Kaedah ini bukan sahaja membantu mengira usia bumi, malah turut digunakan untuk mengkaji planet lain.
Penemuan penting oleh Clair Patterson
Pada tahun 1953, seorang ahli geokimia dari California Institute of Technology, Clair C. Patterson, menggunakan kaedah radiometrik ke atas meteorit Canyon Diablo serta beberapa batuan angkasa lain yang dipercayai terbentuk daripada cakera bahan yang sama seperti bumi.
Patterson menganggarkan bahawa bumi berusia sekitar 4.5 bilion tahun, dan angka itu kekal hampir sama hingga ke hari ini.
Walaupun penemuan ini dianggap penting dalam dunia sains, Patterson sendiri pernah berkata, “Tiada siapa yang ambil peduli ketika itu. Malah, hari ini pun ramai masih tidak kisah berapa usia bumi”.
Berapa lama lagi bumi akan wujud?
Kini, matahari adalah sumber tenaga utama untuk bumi. Namun, suatu hari nanti, matahari yang sama bakal menjadi punca kehancuran planet ini.
Menurut pakar sains angkasa, Dr. Ravi Kopparapu dari NASA, bumi dijangka akan ‘lenyap’ sepenuhnya dalam kira-kira 4.5 bilion tahun lagi, apabila matahari bertukar menjadi bintang gergasi merah lalu menelan bumi.
Namun, sebelum bumi dimusnahkan secara fizikal oleh matahari, ia akan menjadi tidak sesuai untuk kehidupan jauh lebih awal.
Dalam 1.3 bilion tahun akan datang, suhu bumi akan meningkat begitu tinggi sehingga lautan akan mula mendidih dan menyejat, diikuti dengan hilangnya atmosfera, serta penghancuran bumi oleh daya tarikan graviti matahari.
Ancaman lebih awal: Perubahan iklim buatan manusia
Malangnya, manusia mungkin tidak perlu menunggu berbilion tahun untuk menghadapi kehancuran.
Menurut para saintis, perubahan iklim akibat aktiviti manusia boleh mendorong kepada kepupusan manusia dan banyak spesies lain dalam beberapa abad akan datang sahaja.
Salah satu ancaman paling berbahaya ialah suhu basah (wet-bulb temperature), gabungan suhu dan kelembapan yang tinggi. Keadaan ini menyebabkan badan manusia tidak lagi mampu menyejukkan diri melalui peluh.
Pada suhu ini, manusia boleh mati walaupun berada di bawah teduh. Kajian terbaru menunjukkan bahawa suhu basah setinggi 30°C hingga 35°C boleh membawa maut.
Beberapa kawasan di bumi, seperti Timur Tengah, telah mencatatkan suhu basah melebihi 32°C dan dijangka mencecah 35°C secara berkala menjelang akhir abad ini.
Keadaan ini boleh menyebabkan manusia dan haiwan yang berpeluh akan “masak” dalam badan mereka sendiri akibat kepanasan.
BACA: Maksud Sebenar Nombor Pada Pelekat Buah, Sayur Di Pasar Raya
BACA: Hari Terpendek Dalam Sejarah Mungkin Bakal Tiba, Amaran Saintis
BACA: Kajian Dedah Bentuk Sebenar Tubuh Lelaki Yang ‘Sempurna’
Sumber: Howstuffworks.com, Livescience.com