JAKIM Rangka Modul Khas Bendung Fahaman Ekstremis Dalam Kalangan Pekerja Asing
KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) — Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang merangka satu modul khas bagi membendung penularan fahaman radikal dalam kalangan pekerja asing di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata JAKIM juga diarahkan untuk bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia bagi mengenal pasti pendekatan terbaik untuk membangunkan modul yang berkesan.
“Jika kita dapat bantu hapuskan fahaman ekstremisme dalam kalangan pekerja asing seperti warga Bangladesh, secara tidak langsung kita juga membantu negara mereka sendiri.
“Ini kerana ada antara mereka ini yang disyaki terlibat dalam cubaan menjatuhkan kerajaan asal mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Zakat Korporat 2025 di sini hari ini.
Mohd Na’im berkata usaha membanteras fahaman radikal telah lama dilaksanakan JAKIM menerusi pelbagai program pendidikan seperti seminar, ceramah dan khutbah yang amat menekankan konsep kesederhanaan atau wasatiyyah sejajar dengan gagasan masyarakat MADANI.
“Kita mahu mereka kembali kepada ajaran Islam yang sederhana. Kalau kita boleh bantu dari aspek pemulihan fahaman, kita bukan sahaja lindungi negara kita, tapi kita juga elak ancaman di tempat asal mereka,” katanya.
Pada 4 Julai lepas, Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata polis berjaya menumpaskan Gerakan Militan Radikal Bangladesh yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pengumpulan dana dan merekrut ahli bagi menyokong kumpulan pengganas Islamic State (IS) di Syria dan Bangladesh.
Sementara itu, mengenai majlis berkenaan, Mohd Na’im berkata kutipan zakat perniagaan oleh Pusat Pungutan Zakat dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) pada suku pertama 2025 telah mencecah RM76 juta.
“Andai lebih banyak syarikat menjadikan zakat budaya korporat yang berterusan, saya yakin dan percaya kita akan mampu membuka lebih banyak jalan keluar daripada kemiskinan,” katanya.
Pada majlis itu, PPZ-MAIWP menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM53 juta daripada 23 syarikat antaranya ialah Lembaga Tabung Haji, Bank Islam Malaysia Berhad, Amanah Hartanah Bumiputera dan Bank Muamalat Malaysia Berhad.
Sumber: Bernama
BACA: Sungai Korok Rekod Lapan Kematian Dalam Tempoh Lima Tahun
BACA: Penceramah Bebas Direman Bantu Siasatan Kes Tipu Pembangunan Sekolah Agama