Bermula Di Nepal, Gelombang Protes Gen Z Kini Merebak Ke Seluruh Dunia
Beribu-ribu belia Generasi Z (Gen Z) menggerakkan protes di Peru dan Paraguay sejak beberapa hari kebelakangan ini, lapor United Press International.
Difahamkan, tindakan tersebut menyeru bantahan melalui media sosial bagi mendesak ketelusan, menuntut keadilan dan menghapuskan gejala rasuah.
Gerakan itu bermula di Nepal dengan peletakan jawatan perdana menterinya selepas gelombang protes pada September lalu menyebabkan 72 orang terbunuh. Kini, ia semakin merebak dari Benua Asia ke rantau Amerika Latin.
UPI melaporkan bahawa gerakan Gen Z, iaitu golongan yang lahir antara akhir 1990-an hingga 2010 bersifat terdesentralisasi, di mana golongan ini sering ditandai dengan penggunaan simbol budaya global.
Kibaran bendera yang memaparkan lambang tengkorak dan tulang silang daripada siri animasi Jepun tahun 1997, One Piece, telah menjadi lambang sedunia bagi perjuangan menuntut impian, membebaskan golongan tertindas dan menentang kerajaan autokratik.
Di Peru, demonstrasi bermula susulan isu pembaharuan pencen sebelum berkembang menjadi kritikan lebih meluas terhadap Presiden Dina Boluarte dan Kongres.
Pertempuran dengan polis membawa kepada berpuluh-puluh tangkapan dan tuduhan penggunaan kekerasan melampau oleh pasukan keselamatan.
Protes Gen Z kini merebak ke seluruh dunia
Manakala di Paraguay, demonstrasi pertama menggunakan slogan ‘Kami adalah 99.9 peratus. Kami menolak rasuah.”
Beratus-ratus orang muda berarak ke Kongres sambil mengecam amalan nepotisme, kelemahan perkhidmatan awam dan kurang peluang pekerjaan untuk belia.
Protes Gen Z terus merebak ke seluruh benua, dengan tunjuk perasaan di Madagascar dicetuskan oleh catuan air harian dan pemotongan bekalan elektrik, namun dengan cepat meningkat menjadi krisis politik.
Selepas seminggu pergolakan yang menyebabkan 22 orang terkorban, Presiden Madagascar, Andry Rajoelina mengumumkan pembubaran kerajaan.
Menurut portal UPI, protes serupa berlaku di Maghribi, Indonesia, Filipina, Sri Lanka dan Kenya.
Di Nepal, generasi muda membakar Parlimen dan memaksa perdana menteri meletak jawatan berikutan larangan media sosial dalam perkembangan yang memberikan inspirasi kepada pergerakan lain.
Walaupun Gen Z dibebani kebimbangan, kemurungan, dan kesunyian ketika pandemik, mereka menukar rasa tidak puas hati menjadi tindakan politik.
“Fenomena ini sinonim dengan belia bandar. Ia adalah perkembangan penting tetapi kita masih perlu melihat sama ada ia akan membantu menangani masalah yang mencetuskan rasa tidak puas hati rakyat,” kata penganalisis politik, Luisana Sánchez.
Sumber: United Press International