31 Maut, Puluhan Cedera Dalam Gempa Bumi Kuat Filipina Setakat Ini
Pasukan penyelamat giat mengesan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan selepas gempa bumi kuat berukuran magnitud 6.9 melanda wilayah tengah Filipina pada malam Selasa, mengorbankan sekurang-kurangnya 31 orang di pulau Cebu.
Gempa bumi cetek itu berlaku pada jam 9.59 malam waktu tempatan (1359 GMT) di bahagian utara pulau berkenaan, berhampiran bandar Bogo yang berpopulasi kira-kira 90,000 orang, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), lapor AFP.
Korban Paling Tinggi di Bogo
Gabenor wilayah Cebu, Pamela Baricuatro, memaklumkan bahawa Hospital Wilayah Cebu di Bogo merekodkan 25 kematian dari bandar itu sahaja. Disebabkan jumlah pesakit yang ramai dengan kecederaan serius, sebahagian mangsa terpaksa dirawat di luar hospital.
Selain itu, enam lagi mangsa dilaporkan maut di lokasi lain dalam wilayah tersebut. Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMC) pula menyatakan sebanyak 147 orang cedera di seluruh kepulauan tengah, dengan 22 bangunan mengalami kerosakan.
Kerosakan Bangunan dan Insiden Cemas
Rakaman video penduduk yang tular di media sosial menunjukkan sebuah gereja Katolik lama di Pulau Bantayan bergoncang kuat sebelum menara locengnya runtuh ke halaman. Namun, tiada kecederaan dilaporkan.
Di Cebu City, sejauh 100 kilometer dari Bogo, beberapa bangunan turut rosak.
Seorang peniaga dalam talian, Jayford Maranga, 21, berkata beliau sempat berlindung di bawah meja restoran selepas siling logam sebuah pusat beli-belah mula runtuh. Rakannya dilaporkan mengalami kecederaan ringan.
Televisyen tempatan turut menyiarkan detik cemas penunggang motosikal terpaksa turun dan berpaut pada penghadang jambatan ketika struktur itu bergoyang kuat akibat gegaran.
Misi Menyelamat dan Ratusan Gegaran Susulan
Pegawai penyelamat wilayah, Wilson Ramos, berkata operasi mencari dan menyelamat dijalankan sepanjang malam meskipun berdepan kesukaran akibat kegelapan serta ratusan gegaran susulan. Institut Volkanologi dan Seismologi Filipina melaporkan sebanyak 379 gegaran susulan direkodkan setakat ini.
Gempa bumi itu turut menyebabkan gangguan bekalan elektrik di Cebu dan beberapa pulau berhampiran, namun pihak Grid Nasional Filipina memaklumkan bekalan berjaya dipulihkan selepas tengah malam.
Antara bangunan yang runtuh termasuk sebuah bangunan komersial dan sekolah di Pulau Bantayan, manakala sebuah restoran makanan segera di Bogo rosak teruk. Beberapa jalan kampung juga dilaporkan retak dan rosak.
Sementara itu, USGS pada awalnya melaporkan gempa itu berukuran 7.0 magnitud sebelum mengemas kini kepada 6.9. Pusat Amaran Tsunami Pasifik mengesahkan tiada ancaman tsunami dikesan.
Untuk info, Filipina terletak di sepanjang “Lingkaran Api Pasifik”, kawasan yang sering mengalami aktiviti gempa bumi dan gunung berapi. Kebanyakan gegaran biasanya lemah dan tidak dirasai manusia, namun gempa kuat dan merosakkan boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa amaran awal.
BACA: Sekolah Pondok Runtuh: 38 Orang Termasuk Pelajar Tahfiz Dilapor Masih Tertimbus
Sumber: AFP