Bekas Pesakit Kanser ‘Rare’ Berjuang 11 Tahun, Akhirnya Capai Impian Bergelar Ibu Selepas 7 Kali IVF
Setiap pasangan pasti mengimpikan kehadiran cahaya mata sebagai penyempurna keluarga. Namun, tidak semua perjalanan menuju impian ini berjalan lancar.
Ada pasangan yang terpaksa menempuh pelbagai dugaan daripada masalah kesihatan, tekanan emosi sehingga cabaran kewangan sebelum akhirnya dapat merasai kebahagiaan memiliki anak.
Dugaan seperti ini bukan sahaja menguji kesabaran dan ketabahan tetapi juga kekuatan kasih sayang antara suami dan isteri.
Dalam segmen “Ini Kisah Aku” kali ini, Siakap Keli mengetengahkan kisah inspirasi seorang bekas pesakit kanser yang tidak pernah berputus asa mengejar impian untuk bergelar ibu sehingga akhirnya dikurniakan zuriat selepas hampir 11 tahun penantian.
Disahkan menghidap kanser payudara yang jarang berlaku
Juliana binti Razid, seorang penjawat awam berusia 44 tahun dari Taiping, Perak telah menempuh salah satu ujian paling getir dalam hidupnya dengan ketabahan yang luar biasa.
Beliau disahkan menghidap karsinoma mukinus, sejenis kanser payudara yang jarang berlaku dan hanya melibatkan kira-kira satu hingga dua peratus kes, selepas mengesan ketulan pada payudara kanan pada Disember 2016.
Difahamkan, ia merupakan satu jenis kanser payudara yang kebiasaannya menyerang wanita yang sudah berusia atau hampir menopaus.
Namun ujian itu tidak memilih siapa dan ia hadir tanpa diduga.

"Keluarga saya tidak mempunyai sejarah kanser. Jadi saya menerima ujian ini dengan positif, reda dan anggap Allah SWT telah memilih saya
"Saya perasan terdapat ketulan di payudara semasa melakukan pemeriksaan kendiri, yang sudah menjadi amalan saya
"Saya kemudian berjumpa doktor untuk pemeriksaan dan doktor melakukan mammogram serta ultrasound. Laporan menyatakan fibroadenoma (bukan kanser dan tidak berbahaya), namun saya tetap digalakkan menjalani biopsi untuk kepastian," ujar Juliana.
Seterusnya beliau terus menjalani pembedahan mastektomi di Institut Kanser Negara pada Januari 2017.

Tindakan pantas itu menyebabkan kemoterapi tidak diwajibkan, namun beliau memilih untuk meneruskan rawatan sebagai langkah berjaga-jaga dan menjalani kemoterapi sehingga Julai 2017.
"Rawatan kemoterapi berperanan sebagai langkah pencegahan dan untuk membunuh sebarang sel kanser baru yang mungkin muncul
"Jika tidak menjalani kemoterapi, risiko kanser kembali adalah sangat tinggi. Walaupun menjalani kemoterapi, risiko kanser kembali tetap ada cuma pada tahap yang lebih rendah

"Jadi saya teruskan sahaja kerana saya mahu sihat sepenuhnya semula. Tidak mengapa sakit sekejap asalkan manfaat kesihatan bertahan lama," jelasnya lagi.
Percaya setiap ujian pasti ada hikmah
Apabila ditanya mengenai dorongan untuk tidak berputus asa, Juliana percaya setiap ujian yang Allah SWT kurniakan hadir seiring dengan kemampuan setiap hamba-Nya.
Baginya, reda bukan sekadar menerima, tetapi satu bentuk keyakinan bahawa di sebalik setiap kesakitan, Allah SWT telah menyediakan ganjaran yang jauh lebih besar.
Pengalaman itu telah membuktikan kepadanya bahawa sebagai seorang Muslim, menerima, percaya dan yakin terhadap setiap ketentuan Ilahi adalah kunci kekuatan kerana setiap ujian pasti tersimpan hikmah.

"Ujian kanser tu pada saya kecil sangat berbanding banyaknya nikmat lain yang saya dah dapat selama hari ini
"Alhamdulillah, nikmat ujian sakit hanya sembilan bulan, namun nikmat sihat semula sekarang ini dah masuk tahun ke-9," maklumnya lagi.
Sokongan daripada ahli keluarga
Menurut Juliana, sikap positif yang dibawa sejak awal membuatkan suami serta ahli keluarga lain melihat ujian tersebut sebagai sesuatu yang ringan dan mampu dilalui dengan izin Allah SWT.
Baginya, ujian sakit ini boleh jadi asbab penghapus dosa, meninggikan darjat serta ganjaran syurga
"Semoga Allah kurniakan ganjaran syurga. Ujian ini juga dapat eratkan ikatan kekeluargaan dan jalinan silaturahim," jelasnya lagi.
Justeru, beliau memilih untuk menerima segala ketentuan dengan hati yang reda dan penuh kepercayaan kepada-Nya.
"Alhamdulillah, dalam perjalanan rawatan ini, sejak awal lagi saya berpegang pada satu prinsip iaitu mengikuti sepenuhnya nasihat dan ketetapan doktor
"Keluarga memberi sokongan yang sangat besar serta sentiasa mendoakan yang terbaik buat saya. Ahli keluarga juga datang dari semasa ke semasa ke rumah untuk memberikan sokongan moral
"Sepanjang menjalani rawatan kemoterapi, saya mengehadkan penerimaan pelawat bagi mengelakkan risiko jangkitan
"Ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri pula, saya dan suami tidak pulang ke kampung kerana saya perlu menjalani sesi kemoterapi terakhir
"Keluarga mentua datang meraikan Aidilfitri bersama kami, manakala keluarga saya pula datang seminggu kemudian iaitu pada hari kemoterapi terakhir," kata Juliana kepada SK.

Ketika menjalani rawatan, beliau bersyukur kerana dikelilingi oleh insan-insan baik yang sentiasa tampil memberikan bantuan dan sokongan apabila diperlukan, selain suami yang tidak pernah putus memberi dorongan.
Selepas pembedahan, beliau ditemani oleh adik sepupu dan adik ipar sepanjang berada di wad, manakala neneknya pula berada di rumah bagi menemaninya ketika suami keluar bekerja.
Ibu bapanya turut memainkan peranan penting dengan membantu menghantar dan mengambilnya ke hospital bagi menghadiri janji temu perubatan, terutamanya apabila suami tidak dapat bersama.

Demi memudahkan urusan rawatan, suaminya turut memohon pertukaran pejabat dari Kuala Lumpur ke Bangi bagi memudahkan urusan ulang-alik ke Institut Kanser Negara (IKN) selepas setiap sesi kemoterapi.
"Saya dan suami pernah melalui kehidupan perkahwinan jarak jauh sebelum saya disahkan positif kanser
"Namun, selepas diagnosis saya pada Disember 2016, kami tidak lagi menjalani perkahwinan jarak jauh," jelasnya.
Selain itu, adik-beradik serta sepupu turut membantu menguruskan kerja-kerja mengemas ketika proses berpindah ke rumah baharu.
Beliau juga menerima bantuan daripada kenalan yang membersihkan rumah setiap kali sebelum sesi kemoterapi bagi memastikan persekitaran sentiasa bersih dan selamat, sekali gus mengurangkan risiko jangkitan.
Beliau menyifatkan segala kemudahan dan pertolongan yang diterima sebagai satu nikmat besar, serta melahirkan rasa syukur kerana urusannya dipermudah sepanjang melalui fasa rawatan tersebut.

Saat kehidupan menguji Juliana sekali lagi
Menurut Juliana, diuji dengan demam panas semasa menjalani rawatan kemoterapi adalah sesuatu yang berbahaya.
Keadaan itu berlaku dua minggu selepas sesi kemoterapi ketiga, iaitu kira-kira seminggu sebelum sesi keempat dijadualkan.
"Apabila saya memeriksa suhu, bacaan menunjukkan 38.5 Celcius, lalu suami terus membawa saya ke Unit Kecemasan IKN
"Setibanya di hospital, suhu saya meningkat kepada 39.3 Celcius dan saya terus disorong ke zon kuning. Terdapat dua doktor dan ramai jururawat yang segera membuat pelbagai pemeriksaan ke atas saya
"Pelbagai ujian dijalankan, termasuk pengambilan sampel darah, pemeriksaan tekanan darah, pengukuran tahap oksigen (SPO₂), ECG, pemeriksaan telinga dan mata serta air kencing. Seterusnya dihantar untuk X-ray paru-paru bagi menilai tahap jangkitan

"Orang biasanya risau tentang rambut gugur dan kuku menghitam. Sebenarnya, perkara itu tidak mendatangkan kesakitan, cuma memberi kesan psikologi
"Namun, jika mengalami demam dengan suhu 37.5 Celcius ke atas, itu perkara serius dan perlu segera ke hospital kerana ia boleh menjadi tanda jangkitan yang berbahaya," ujarnya lagi.
Selepas itu, beliau dimasukkan ke bilik isolasi selepas didapati mempunyai bacaan paras sel darah putih yang rendah, bahkan turut menerima suntikan Neupogen dan diberikan antibiotik
“Alhamdulillah, tindakan cepat ke hospital membantu saya mengelak komplikasi yang lebih serius, termasuk jangkitan kuman pada organ penting. Paru-paru saya masih dalam keadaan baik pada waktu itu," kata Juliana.
Sesi kemoterapi seterusnya dilewatkan seminggu bagi memberi masa untuk beliau pulih sepenuhnya daripada demam.

Juliana sanggup berkorban apa sahaja demi mendapatkan zuriat
Setiap pasangan pasti mengimpikan cahaya mata, begitu juga Juliana dan suaminya, Fariq Azwar yang berusia 45 tahun.
"Apabila ditakdirkan saya menghidap kanser, isu memiliki anak menjadi salah satu perkara yang dibincangkan dengan doktor
"Namun begitu, doktor menasihati agar rawatan kanser diutamakan terlebih dahulu untuk mengelak penyakit itu merebak
"Urusan memiliki anak boleh difikirkan selepas setahun selesai kemoterapi, bagi memberi peluang kepada badan untuk pulih sepenuhnya," ujar beliau lagi.
Sebelum memulakan usaha untuk hamil, beliau dan suami telah berjumpa dengan pakar sakit puan di Hospital Putrajaya bagi menilai sebarang risiko yang mungkin timbul.

Menurut doktor, risiko utama ialah kanser boleh kembali kerana kanser beliau sebelum ini adalah positif hormon.
Apabila hamil, tahap hormon wanita meningkat dan keadaan ini berpotensi mencetuskan kanser semula.
Risiko itu boleh berlaku pada awal, pertengahan atau akhir kehamilan atau mungkin tidak berlaku langsung, semuanya bergantung kepada ketentuan Allah SWT.
Doktor menjelaskan sekiranya ia berlaku, rawatan akan ditentukan berdasarkan keadaan pada masa itu tetapi sebelum kejadian berlaku, rawatan yang diperlukan tidak dapat dijangka.
Juliana dan suami memahami risiko tersebut tetapi tetap meneruskan hasrat untuk menimang cahaya mata.
Jalani rawatan IUI sebelum IVF
Setelah memahami risiko, doktor mengatur prosedur Inseminasi Dalam Rahim (IUI) bagi pasangan tersebut.
Difahamkan, suami dan isteri perlu menjalani pemeriksaan kesihatan bersama sebelum proses dijalankan.
Juliana menjelaskan kitaran IUI pertama dihentikan kerana folikel tidak membesar dengan baik.
Pada kitaran kedua, dos ubat ditingkatkan. Kitaran ketiga dan keempat menggunakan dos yang sama, dan hanya pada IUI keempat Juliana mendapat keputusan beta hCG positif.
Malangnya, kehamilan itu tidak berkembang dan gagal sebelum sempat dilakukan pemeriksaan kantung.
Pasangan itu kemudiannya dirujuk ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk rawatan Persenyawaan In-Vitro (IVF) di bawah seliaan pakar reproduktif dan onkofertiliti, Prof Madya Dr Mohd Faizal Ahmad.

Menurut Juliana, antara cabaran utama semasa rawatan IVF ialah kuantiti dan kualiti folikel yang diperoleh agak terhad kerana beliau pernah menjalani kemoterapi yang menjejaskan kualiti ovum.
Setiap kitaran, bilangan folikel hanya sedikit, antara satu hingga tiga biji sahaja.
Terdapat kitaran di mana folikel kosong tanpa ovum, ada kitaran yang embrio tidak berkembang, malah ada juga folikel yang gagal membesar walaupun dos ubat ditingkatkan, sehingga tempoh pemantauan terpaksa dilanjutkan sehingga hari ke-32.
"Dari segi individu, kami perlu menangani stres dan kesibukan kerja dengan baik
"Setiap kali kitaran IVF gagal, kami berusaha mengumpul wang dan menghadapi kekecewaan dengan tabah
"Bangkit daripada setiap kegagalan tidak mudah. Kami mengambil masa untuk bersedih, menangis dan kadangkala pergi bercuti, sebelum kembali meneruskan usaha.
"Kami juga menjaga pemakanan, bersenam, menurunkan berat badan serta memperbanyak doa dan solat sunat, malah pernah juga mencuba rawatan akupuntur," kata beliau.
Sebahagian ubat cucuk sesuatu kitaran ivf
Berjuang tanpa henti untuk dapatkan cahaya mata
Pada awalnya, pasangan tersebut memaklumkan kepada doktor bahawa mereka akan terus berusaha selagi doktor kata manfaat melebihi mudarat.
"Sebab doktor pernah kata akan tiba masanya kami perlu berhenti. Sebenarnya, kitaran ketujuh itu memang yang terakhir kerana doktor memaklumkan beliau sudah tidak mempunyai ikhtiar lagi," kata Juliana.
Dari satu kitaran ke kitaran berikutnya, mereka tetap mencuba.
"Bagi kami, IVF hanyalah sebahagian daripada proses, manakala usaha itu sendiri adalah tangga menuju kejayaan. Namun, rezeki untuk mendapat anak hanyalah dengan izin Allah," jelasnya.

Apabila ditanya mengenai pengalaman paling mencabar ketika hamil selepas kanser, Juliana berkongsi bahawa beliau mengalami pendarahan pada minggu ke-6 kehamilan, dua hari sebelum tarikh pemeriksaan kantung bayi.
Kejadian berlaku pada hari pertama bekerja selepas cuti sakit yang panjang, lalu beliau terus ke PAC Hospital Putrajaya untuk pemeriksaan segera.
Pada ketika itu, degupan jantung bayi belum dapat dikesan, hanya kelihatan bentuk kantung dalam rahim. Doktor mendiagnosnya sebagai ‘threatened miscarriage’ dan memberi sambungan cuti sakit.
Keesokan harinya, beliau dan suami berjumpa Dr Faizal di Klinik Ezze untuk pemeriksaan semula.
"Alhamdulillah, Allah SWT izinkan kami dengar degupan jantung bayi buat kali pertama. Kami semua menangis kerana terharu dan lega," ujarnya.

Doktor menasihati mereka untuk tidak terlalu berfikir jauh, hanya memberi tempoh dua minggu sekali untuk memantau perkembangan janin.
Proses ini berterusan sehingga minggu ke-36, barulah mereka mula berasa lega kerana bayi sudah full term. Dalam tempoh itu, mereka tidak berani terlalu gembira atau berkongsi berita secara meluas, bimbang sekiranya berlaku apa-apa yang tidak diingini.
Disebabkan mengandung pada usia 40-an, doktor mencadangkan ujian genetik bagi mengetahui sama ada kandungan berisiko mengalami Sindrom Down atau masalah lain.
Namun, mereka memilih untuk tidak melakukan ujian dan reda menerima apa jua keadaan anak.

Ini kerana fokus mereka hanyalah untuk melalui pengalaman mengandung dengan tenang dan memikirkan perkara-perkara baik serta indah sahaja.
Selepas melalui tujuh kitaran IVF, Juliana akhirnya selamat melahirkan seorang bayi perempuan, Emma Emily binti Fariq Azwar.
Anak yang dilahirkan sempurna sifatnya menjadi penutup perjalanan penuh cabaran namun penuh harapan ini.