Siakap Keli

Merdeka 2020

Malaysia Prihatin menjadi pilihan sebagai slogan untuk Hari Kemerdekaan pada tahun 2020. Ia dilihat sebagai sesuai dengan keadaan negara sekarang yang sedang bergelut dengan virus Covid-19 yang dilihat memberi impak yang besar terhadap rakyat di negara ini. Ada yang kehilangan pekerjaan, kehilangan perniagaan malah ada yang kehilangan sanak saudara akibat dari virus pandemik Covid-19.

Covid-19 boleh disifatkan sebagai musuh ‘tidak berbadan’ yang sangat berbahaya jika penyebarannya tidak dibendung. Sekiranya tidak ada komitmen dari setiap dari kita untuk menentang virus ini, negara kita boleh runtuh, mungkin tidak bangun semula. Malah, ketika virus Covid-19 masih menular ketika ini, kita masih boleh melihat ada rakyat yang degil tidak mahu mengikut SOP yang ditetapkan sehingga membuka kluster-kluster baharu.

Mengambil hikmah kemerdekaan, mari kita sama-sama membendung Covid-19 dengan memberi kerjasama kepada kerajaan dan ‘frontliners’ dan saling ingat mengingati sesama sendiri sehingga virus ini ‘keluar’ dari Malaysia; sama seperti apa yang kita lakukan pada 1957 dahulu.

Untuk menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan yang telah sekian lama kita kecapi, marilah bersama-sama kita kibarkan Jalur Gemilang di setiap pelusuk ruang milik kita, yang mungkin tidak akan menjadi hak kita pada hari ini sekiranya kemerdekaan ini tidak kita kecapi.

Selamat Hari Merdeka 2020. Jadilah Malaysia yang Prihatin.

Artikel Merdeka 2020