Siakap Keli

(Video) Lelaki Maut Jatuh Air Terjun Gara-Gara Mahukan Sudut Menarik Untuk Bergambar

Seorang lelaki berusia 35 tahun maut setelah terjatuh daripada tebing air terjun berketinggian 51 Meter di Selatan India dalam cubaannya untuk mendapatkan sudut yang menarik ketika mengambil gambar.

Rakaman video yang tular menunjukkan mangsa, Ramjan Usman Kagji yang berasal Ghatprabha memanjat pada tebing air terjun terkenal, Air Terjun Gokak, yang terletak di daerah Belagavi, Karnataka yang sering dikunjungi pelancong.

Melalui rakaman tersebut, mangsa dilihat sedang bergantung pada tebing air terjun itu untuk menuruni ke bahagian yang lebih bawah, sebelum tiba-tiba tergelincir dan terjatuh, dipercayai selepas rakannya mengarahkannya berbuat demikian bagi mendapatkan sudut yang lebih menarik untuk mengambil gambarnya.

Sebelum itu, Kagji dan rakan-rakannya dilaporkan tiba di lokasi tersebut dalam keadaan mabuk. Beberapa orang pengunjung lain yang berada di lokasi kejadian juga dikatakan telah memberi amaran kepada mereka untuk tidak meneruskan tindakan berbahaya tersebut namun tidak diendahkan oleh mangsa.

”Mangsa bertindak sedemikian ketika rakannya yang lain sedang merakam aksi beraninya.

”Saya dapat melihat bahawa rakannya menggunakan tangan untuk mengarahkan mangsa untuk memberikan gaya berlainan, kerana mereka mahu mengambil gambarnya menggunakan telefon bimbit dan memuat naik ke media sosial.

”Selepas mangsa jatuh, ketika kami (pengunjung) bergegas ke lokasi di mana mangsa berada, kami dapat mendengar kata-kata rakannya ”Dia tidak akan mati sekiranya kita tidak meminta dia bergerak untuk mendapatkan sudut yang lebih baik,” kata saksi, Shivaji Kokate.

”Kami melihat dia (mangsa) memanjat hingga ke bahagian hujung air terjun. Dia tidak mengendahkan amaran yang kami beri,” kata seorang lagi saksi.

Pihak berkuasa yang tiba di lokasi kejadian dikatakan sedang menjalankan usaha untuk mengesan kedudukan jasad mangsa setelah menghadapi kesukaran disebabkan kawasan air yang dalam.

”Kejadian itu berlaku pada Sabtu antara pukul 3 hingga 4 petang, dan sejak itu kami masih mencari jasad mangsa. Air di lokasi tersebut sangat dalam dan ia menyukarkan kerja-kerja mencari mayat mangsa.

”Sama ada mangsa di bawah pengaruh alkohol atau tidak, ia hanya dapat diketahui selepas jasad mangsa ditemui. Setakat ini, kami tidak dapat mengesahkan apa-apa,” kata jurucakap polis.

Air Terjun Gokak merupakan destinasi yang sering dikunjungi pelancong dari luar namun kini menjadi destinasi popular untuk mereka yang berhajat membunuh diri.

Sejak lima tahun lalu, seramai 19 orang dilaporkan sudah terkorban di kawasan tersebut, sama ada akibat bunuh diri ataupun berlaku kemalangan tidak diingini, menurut laporan akhbar tempatan.

[youtube https://www.youtube.com/watch?v=JvjkH8acKOk]

 

Sumber : Dailymail

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.