Siakap Keli

Bukan Pemandu Bas Yang Buang Sampah, Tetapi lelaki Kurang Siuman, MyBas Dedah Bukti Video

Tular satu video baru-baru ini di media sosial mengenai pembuangan sampah di tengah jalan daripada sebuah bas yang dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook dan turut dimuatnaik di laman Facebook Siakap Keli.

MaraLiner selaku penyedia perkhidmatan myBus yang tular dalam video tersebut hari ini memuat naik satu Siaran Media yang dikongsikan melalui laman Facebook rasmi syarikat itu untuk menjelaskan kejadian sebenar yang berlaku.

Menurut kenyataan itu, pengurusan MaraLiner yang membuat siasatan terhadap kejadian tersebut mendapati bahawa salah seorang penumpang bas yang didakwa tidak siuman adalah individu sebenar yang terlibat dalam kejadian membuang sampah daripada bas tersebut.

”Individu kurang siuman tersebut telah mendakwa bahawa ada bom di dalam tong sampah semasa pemandu bas dalam pemanduan,” kata kenyataan itu.

Kenyataan tersebut turut menyebut bahawa penumpang tersebut secara spontan telah bertindak menolak pintu myBus itu ketika berhenti di sebuah lampu isyarat, dalam kejadian yang berlaku berhampiran dengan Sekolah Kebangsaan Bukit Besar, Kuala Terengganu di Terengganu.

‘Selepas membuang sampah tersebut, individu itu telah menarik kembali pintu bas untuk ditutup,” kata kenyataan itu lagi.

Kejadian tersebut yang berlaku secara spontan sememangnya tidak dijangka oleh pemandu myBus itu. Dia kemudian bertindak menegur tindakan yang dibuat oleh penumpang itu kerana boleh menjejaskan imej syarikat majikannya.

Bagaimanapun, penumpang itu tidak mengendahkan teguran yang dibuat oleh pemandu bas itu sebelum turun di sebuah perhentian, kira-kira 50 meter daripada tempat kejadian.

Sehubungan itu, MaraLiner selaku operator myBus Kuala Terengganu membuat Siaran Media bagi menjelaskan kejadian sebenar dan membuat permohonan maaf terhadap orang ramai atas kejadian yang berlaku.

Bersama ini, MaraLiner turut berkongsi satu video bagi memperlihatkan gambaran sebenar kedudukan lelaki kurang sioman berkenaan, video diambil ketika menunggu penumpang naik di Terminal bas.

[youtube https://www.youtube.com/watch?v=iB1Y-qW7RTg]

*Kami terpaksa sensor muka lelaki kurang sioman berkenaan demi jaga hati keluarganya

Sumber : MARA Liner Sdn. Bhd

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.