Siakap Keli

Awasi Anak Dalam ‘Baby Walker’. Berikut Adalah Bahaya Yang Boleh Menimpa Bayi Anda.

Penggunaan ‘baby walker’ secara meluas di negara kita seakan sudah menjadi kebiasaan. Namun tahukah anda, kebanyakan negara luar tidak menyokong penggunaan walker sebaliknya alat ini sudah di ‘banned’ kerana kesannya buruknya kepada bayi.

Ramai juga ibu-bapa yang tidak bersetuju dan memberi alasan anak mereka membesar dengan baik walaupun diletakkan di dalam walker. Tetapi begitulah, selagi tidak kena ke atas diri sendiri, segala peringatan akan dipandang sepi. Betul tak?

Penjelasan oleh Doktor Rusyainie Ramli ini diharap dapat membuka mata ibu-bapa di luar sana mengenai bahaya menggunakan baby walker.

BABY WALKER – BAHAYA KE DOKTOR?

Ramai di antara kita mengenali apa itu ‘baby-walker’. Penggunaannya meluas di negara kita dan saya seringkali terlihat gambar bayi yang masih belum boleh berjalan diletakkan di dalam ‘baby-walker’ dan mak ayah beria-ia pula mengambil gambarnya untuk dikongsikan di halaman Facebook mereka tanpa terlintas pun di hati mereka betapa bahayanya alat tersebut.

‘Baby-walker’ dihasilkan untuk bayi yang masih belum boleh berjalan dengan membiarkan kakinya mencecah ke lantai dan membenarkannya memulakan langkah sebelum waktunya. Kalau ditanya pada mak ayah, mereka akan memberikan berbagai-bagai sebab mengapa mereka memilih ‘baby-walker’ sebagai salah satu alat untuk bayi mereka, di antaranya ialah:

1. Mereka percaya yang ‘baby-walker’ akan mempercepatkan proses bayi berjalan dan pada yang sama memudahkan pergerakan bayi dengan sendirinya tanpa perlu dikendong.

2. Mereka merasakan dengan penggunaan ‘baby-walker’, ia akan membantu anak mereka melakukan aktiviti fizikal.

Tetapi, yang sebenarnya, ‘baby-walker’ memberikan ruang untuk ibubapa menghela nafas lega buat seketika dan berehat sebentar dari menangani karenah bayi kerana berada di dalam ‘baby-walker’ membuatkan bayi leka dan asyik.

Bayi yang sibuk dengan aktiviti meronda-ronda sekitar kawasan di dalam rumah akan kurang renyeknya buat suatu jangkamasa tertentu. Kita tidak boleh menafikan yang menjaga bayi di usia begini memang sangat memenatkan.

Kajian yang dilakukan di Amerika pada tahun 1994 menunjukkan penggunaan ‘baby-walker’ merupakan kecederaan paling utama kepada bayi berbanding dengan produk-produk lain.

Dan kerana itulah pembuatan ‘baby-walker’ mesti melalui spesifikasi ketat di kilang sebelum memasuki pasaran, namun begitu majoriti pakar kanak-kanak memang menegah penggunaan ‘baby-walker’ untuk bayi.

Canada merupakan negara yang mengharamkan penggunaan ‘baby-walker’ disebabkan keseriusan kecederaan yang boleh terjadi disebabkannya. Manakala, Australia, Amerika dan kebanyakan negara-negara Kesatuan Eropah meletakkan syarat-syarat ketat untuk penghasilan ‘baby-walker’ dan secara amnya tidak menggalakkan penggunaannya.

Kecederaan yang biasa dikaitkan dengan penggunaan ‘baby-walker’ ialah:

1. Kecederaan kepala – pendarahan otak atau keretakan tempurung kepala akibat ‘baby-walker’ terbalik atau terjatuh dari suatu aras yang tinggi.

Gambar Hiasan

2. Kepatahan tulang – tulang bayi masih lembut dan mudah patah, tidak seperti orang dewasa. Bayangkan bayi kita tercedera akibat menggunakan ‘baby-walker’. Pasti sakitnya bukan kepalang, maklumlah bayi kan, dan kita juga akan berada di dalam keadaan tertekan mendengarkan karenahnya yang menahan kesakitan sepanjang proses penyembuhan dengan bersimen pula tu dalam sesetengah jenis kepatahan.

3. Kepatahan gigi – kasihannya pada bayi yang patah giginya yang baru sahaja tumbuh.

4. Melecur – kebiasaannya terjadi kerana perlanggaran ‘baby-walker’ dengan meja yang terbalik yang telah diletakkan makanan atau air panas di atasnya. Atau bayi melonjakkan dirinya dari ‘baby-walker’ dan mampu mencapai dan menarik alas meja yang kebetulannya terletak di atasnya makanan atau air panas. Memang menyayat hati sungguh melihat kes-kes melecur yang terjadi pada bayi.

5. Tersepit jari di tempat-tempat ‘baby-walker’ berselisih dan silap haribulan, terputus terus jari jemari comel bayi kita.

6. Keracunan – disebabkan kemampuan bayi untuk mencapai benda yang tinggi, bayi terdedah kepada bahan-bahan beracun yang terdapat di dalam rumah seperti sabun pencuci, bahan peluntur, minuman beralcohol, pewangi dan sebagainya.

7. Kematian yang disebabkan kecederaan serius yang dinyatakan di atas. Kes kematian dengan penggunaan ‘baby-walker’ bukan sesuatu yang mustahil kerana ia pernah dilaporkan.

Dengan menggunakan ‘baby-walker’, bayi bergerak jauh lebih laju dari keupayaan sebenarnya dan jauh lebih pantas dari kemampuan mak ayah untuk bertindak sekiranya bayi sedang menempuh bahaya.

Sedar atau pun tidak, kelajuan bayi di dalam ‘baby-walker’ ialah 3 kaki per saat. 75% daripada mak ayah tidak sempat menghalang kecederaan sebelum ia berlaku semasa bayi di dalam ‘baby-walker’.

Rumah kita yang ada tebing atau diletakkan lebih banyak perabut menjadi halangan untuk pergerakan ‘baby-walker’. Tetapi, kalau tiada halangan sekalipun, kelajuan walker itu menyebabkan bayi gagal mengawalnya lalu berlanggarkan dengan dinding atau almari.

Kelazimannya, kecederaan berlaku akibat ‘baby-walker’ terbalik atau terjatuh dari tangga. Memang ada penghadang yang boleh dipasang di tangga tetapi sekiranya penghadang tidak dipasang dengan betul atau tidak ditutup kemas, bahaya pasti menanti.

Seperti yang dinyatakan di atas bayi yang berada di dalam ‘baby-walker’ mampu menggunakannya untuk melonjakkan dirinya untuk mencapai benda yang panas atau berat yang diletakkan di tempat yang lebih tinggi yang sepatutnya tidak kecapaian dengan kemampuan bayi pada usia itu.

Bayi secara lumrahnya, pada usia menjangkau 6 bulan ke atas, akan mempunyai keinginan semulajadi untuk bergerak sendiri. Pada permulaannya bayi akan kelihatan seakan-akan bersusah-payah untuk melakukannya. Bayi akan menggunakan kaki dan tangan untuk menggerakkan badan, mengiring, mengengsot dan merangkak.

Apabila bayi berjaya mendapatkan apa yang dikehendakinya dengan pergerakannya sendiri, contoh barang permainan, dia sebenarnya telah mencapai satu matlamat di dalam proses tumbesaran fizikal dan mentalnya.

Selepas merangkak, bayi akan meneruskan proses tersebut dengan berdiri, melangkah sambil berpaut dan akhirnya berjalan. Bayangkan betapa gembiranya hati kita melihat perkembangan keupayaan bayi kita bergerak sehari demi sehari.

Inilah proses semulajadi di dalam perkembangan bayi, dan malangnya, dengan penggunaan ‘baby-walker’, bayi akan melangkaui perkembangan tersebut. Apa tidaknya, dengan berada di dalam ‘baby-walker’, bayi meletakkan jari kakinya yang kecil itu di dalam keadaan tidak normal seperti bayi lain yang mahu berdiri dan berjalan.

Bila berada di dalam ‘baby-walker’, bayi menggelongsor ke depan dengan mudah dan mampu memanjat ke atas sebelum masanya. Tanpa kita sedari, sebenarnya kajian menunjukkan yang bayi yang menggunakan ‘baby-walker’ menunjukkan kelewatan di dalam tumbesaran fizikalnya untuk merangkak, berdiri dan berjalan dengan sendiri tanpa bantuan ‘baby-walker’.

Malah, kajian juga mendapati, tumbesaran fizikal yang lain untuk bayi yang pernah menggunakan ‘baby-walker’, juga lambat walaupun dia sudah berjalan. Bukan itu sahaja, kajian mendapati, bayi yang menggunakan ‘baby-walker’ menunjukkan merencatkan perkembangan mentalnya. Kita mungkin merasakan apalah sangat penggunaan ‘baby-walker’ walhal kesan dan impaknya mungkin lebih besar dari yang kita jangkakan.

Kesimpulannya, tiada kebaikan pun menggunakan ‘baby-walker’ berbanding dengan segala keburukan yang telah saya nyatakan di atas. Maka, sekiranya kita mempunyai ‘baby-walker’ di rumah, inilah waktu terbaik untuk menyimpannya di dalam stor sebelum kejadian tidak diingini terjadi atau kesan jangka panjang yang tidak sihat untuk perkembangan bayi kita.

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.