Siakap Keli
KOTA TINGGI, 8 Julai -- Sepasang suami isteri warga emas rentung apabila terperangkap dalam kebakaran membabitkan tiga buah kedai, di Sungai Rengit,Pengerang awal pagi tadi. --fotoBERNAMA(2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

Suami Isteri Warga Emas Maut Terperangkap Dalam Kebakaran Tiga Buah Kedai

Sepasang suami isteri warga emas, Chong Chin Sin, 71, dan isterinya, Tan Ah Yeng, 70, maut setelah terperangkap dalam kebakaran melibatkan tiga buah kedai di Sungai Rengit, Pengerang dekat Kota Tinggi, Johor awal pagi tadi.

Mangsa yang terkorban merupakan pekerja kedai perkakasan dan kedua-duanya tinggal di premis tersebut.

Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fadli Ismail berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada pukul 3.45 pagi.

Pihak Bomba kemudian mengahantar sebuah jentera berkekuatan lapan anggota ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima laporan tersebut.

“Sejurus tiba, didapati kebakaran melibatkan sebuah kedai bengkel motosikal, sebuah kedai perkakasan  dan sebuah kedai menjual televisyen.

“Api tidak dapat dipastikan bermula dari kedai mana, namun, tiga kenderaan iaitu dua van terbakar kira-kira 70 peratus dan lima peratus manakala sebuah kereta jenis Volvo turut terbakar kira-kira 50 peratus,” katanya seperti dilaporkan BERNAMA.

Sehingga kini, kerja-kerja memadam kebakaran masih dijalankan di ketiga-tiga kedai papan itu yang dibina sejak 50 tahun lepas.

Seramai 20 anggota Pasukan Bomba Sukarela Sungai Rengit dan tujuh anggota dari Unit Central Emergency and Fifre Service Response (CEFS) Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) Pengerang turut membantu Bomba dalam usaha memadamkan kebakaran tersebut.

Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih lagi disiasat.

Sumber : BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.