Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Musim Bubur Asyura Kembali, Ini Resipi Versi Utara Wajib Cuba

Azizah Najib
Resipi bubur asyura utara
Kredit: Fadhli Khobin

Musim Bubur Asyura Kembali, Ini Resipi Versi Utara Wajib Cuba

Bubur bukan sahaja terkenal sebagai hidangan pencuci mulut, malah terkenal sebagai hidangan yang mudah disediakan dengan pelbagai ramuan mengikut selera masyarakat Malaysia.

Pelbagai jenis bubur dapat ditemui biarpun kadangkala hanya dimasak mengikut musim. Sebagai contoh, bubur lambuk yang kebiasaannya dimasak ketika bulan Ramadan. Begitu juga bubur asyura.

Setiap kali tiba 10 Muharam, adat setempat di Malaysia sudah pasti tidak lari daripada menghidangkan bubur asyura sebagai jamuan.

Menariknya, bubur asyura mempunyai keunikan tersendiri dengan cara memasak dan bahan yang berbeza mengikut kawasan.

Kali ini, SK kongsikan dengan pembaca resipi bubur asyura versi orang utara mengikut resipi daripada seorang pengguna TikTok, Fadhli Khobin.

Bahan-bahan dan cara masak

Pertama sekali, anda perlu masak kuah bubur terlebih dahulu. Gaulkan dengan sebati dua kilogram tepung beras bersama 3500 mililiter air.

Anda perlu pastikan campuran tadi tidak berketul. Kemudian, tuang ke dalam kuali besar. Jangan lupa untuk tapiskan campuran tepung ketika dituang ke dalam kuali.

Gunakan api perlahan untuk memasak kuah bubur.

Sambil menggaul, masukkan dua kilogram santan dan satu kilogram ubi yang dipotong kecil. Selepas itu, masukkan beberapa helai daun pandan yang diikat bersama.

Menurut Fadhli, daun pandan diperlukan untuk menambah aroma wangi pada bubur. Apabila kuah sudah menjadi sedikit pekat, masukkan satu kilogram gula dan sedikit garam.

Bagi menambah perasa dan aroma, tambahkan satu kilogram gula merah yang sudah dicairkan.

“Kalau nak manis, hampa boleh tambahkan adunan air gula,” pesannya.

Seterusnya, masak adunan selama kira-kira dua jam dengan menggunakan api perlahan.

Sementara menunggu adunan masak, anda boleh merebus setengah kilogram kacang merah, setengah kilogram kacang kuda dan setengah kilogram kacang hijau.

Setelah adunan kuah bubur masak, campurkan kesemua kacang dan gaul sebati. Bubur asyura, siap untuk diedarkan kepada sanak-saudara dan jiran tetangga.

Selamat mencuba.

Sumber: Fadhli Khobin

BACA: Resipi Agar-Agar Strawberi Susu, Pemanis Mulut Segar & Sedap

BACA: Warisan Turun-Temurun, Wanita Kongsi Resipi Udang Masak Diraja