Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Tingkap Tren Komuter Utara Pecah Akibat Vandalisme - KTMB

Tingkap Tren Komuter Utara Pecah
Kredit: Bernama

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengesahkan insiden cermin tingkap pecah melibatkan tren KTM Komuter Utara laluan Padang Besar-Butterworth yang tular di media sosial semalam berpunca daripada perbuatan vandalisme.

KTMB dalam kenyataan hari ini memaklumkan kejadian berlaku pada tren No. 2951 kira-kira 6 petang semalam apabila tren berkenaan dibaling objek tidak dikenali dari luar ketika melewati laluan antara Arau dan Kodiang.

Kenyataan itu memaklumkan insiden berkenaan menyebabkan cermin tingkap di bahagian kiri koc kedua pecah.

“Sejurus menerima laporan daripada pemandu tren, KTMB telah mengambil tindakan segera dengan mengosongkan koc yang terjejas serta mengehadkan akses penumpang ke koc berkenaan sebagai langkah keselamatan.

“Anggota Polis Bantuan KTMB turut digerakkan bagi membantu mengawal pergerakan penumpang dan memastikan keadaan di dalam koc terjejas terkawal,” menurut kenyataan itu.

Tren berkenaan kemudian meneruskan perjalanan pada 6.21 petang selepas langkah keselamatan dilaksanakan, dengan kelewatan selama 21 minit daripada jadual asal.

Set tren terlibat seterusnya dibawa ke Depoh Bukit Tengah bagi menjalani pemeriksaan dan kerja penukaran tingkap yang rosak sebelum kembali digunakan untuk perkhidmatan penumpang pada hari berikutnya.

Menurut KTMB, laporan polis turut dibuat bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut pihak berkuasa.

Kenyataan itu memaklumkan KTMB memandang serius perbuatan vandalisme terhadap aset kereta api kerana tindakan membaling batu ke arah tren yang sedang bergerak berpotensi mengancam keselamatan serta nyawa penumpang dan kakitangan bertugas.

Perbuatan melontar batu ke arah kereta api adalah kesalahan di bawah Seksyen 132 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715] yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM25,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Sehubungan dengan itu, orang ramai diseru agar tidak melakukan perbuatan yang membahayakan operasi kereta api dan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya menyaksikan sebarang aktiviti mencurigakan.