Siakap Keli

(Video) Daging Merah Dan Daging Putih, Apakah Perbezaannya Dan Mana Lagi Baik?

Daging sememangnya antara bahan mentah yang paling kerap digunakan oleh manusia dalam penyediaan makanan mereka. Daging mentah boleh digunakan untuk menghasilkan pelbagai makanan. Stik, gulai lemak daging salai, rendang untuk hari raya, BBQ, satey dan pelbagai lagi.

Pendek kata, daging sememangnya satu bahan yang versatil. ‘Campak’ manapun, pasti terhasil juadah yang enak. Tapi ikut tangan chef jugaklah kan. Tapi apa pun, masakan makanan berdaging sememangnya mudah dicari dimana-mana sahaja. Pergilah gerai tepi jalan hingga restoren lima bintang, di dapur-dapur rumah kampung hingga dapur-dapur istana mewah, daging pasti ada. Mudahnya, manusia dengan makanan berdaging memang tak boleh dipisahkan.

Daging Merah vs Daging Putih

Pernah dengar? Kalau pernah dengar pun, apa yang kita tahu mengenai daging merah dengan daging putih cuma setakat jenisnya sahaja. Daging merah adalah daging lembu, daging kerbau dan seangkatannya. Manakala daging putih itu adalah daging ayam, daging burung, ikan dan sebagainya.

Tapi kita tak pernah kisah pun kan kenapa daging merah itu dipanggil daging merah dan daging putih itu dipanggil daging putih. Betul tak? Sebenarnya yang membezakan daging merah dengan daging putih ini adalah daging merah mengandungi lebih banyak myoglobin.

Apa itu myoglobin? Myoglobin berfungsi untuk mengangkut oksigen ke otot dalam salauran darah. Otot yang lebih banyak bergerak atau digunakan akan mengandungi lebih banyak myoglobin. Sebab itulah pada bahagian haiwan, seperti peha lembu, anda akan mendapati dagingnya lebih merah atau lebih gelap.

Malah, pada daging putih seperti peha ayam, anda juga akan mendapati bahawa daging dibahagian tersebut lebih merah dan gelap disebabkan kandungan myoglobin lebih tinggi di kawasan tersebut.

Kandungan Lemak

Kandungan lemak merupakan perbezaan terbesar diantara daging putih dengan daging merah. Bagi daging putih pula, ia mengandungi lebih banyak protein dan kandungan lemak yang lebih rendah. Manakala daging merah mengandungi lebih banyak lemak. Walaupun begitu, daging merah turut mengandungi beberapa zat penting yang lain antaranya kandungan zink, zat besi dan Vitamin B.

Zat besi yang terdapat di dalam daging merah dikenali sebagai zat besi heme, iaitu lebih mudah diserap oleh badan berbanding zat besi yang ditemui pada tumbuh-tumbuhan. Sebab itulah, individu yang tidak memakan daging ataupun pengamal gaya hidup vegetarian seringkali ditemui dengan tanda-tanda kekurangan kandungan zat tertentu, terutamanya Vitamin B.

Pengambilan

Sebenarnya, kedua-dua jenis kumpulan daging ini memepunyai khasiatnya yang tersendiri. Namun ia bergantung kepada kekerapan, jumlah pengambilan dan teknik masakan yang digunakan dalam penyediaan bahan mentah tersebut.

Contohnya jika anda penggemar daging merah, walaupun tinggi vitamin dan beberapa zatnya yang lain, pengambilan daging mereh secara berlebihan dikaitkan dengan penyakit stroke dan juga kanser, terutamanya kanser kolorektal. Selain itu, teknik penyediaan bahan mentah seperti panggang dan bakar turut meningkatkan risiko kanser melalui peningkatan bahan berunsur karsinogen dalam daging.

Berapa Banyak

140 gram daging ayam (daging putih) mengandungi 130 kcal, 2.6 g lemak (0.7 g lemak tepu) dan 66 mg kolestrol. Manakala 140 gram daging lembu (daging merah) mengandungi 250 kcal, 9 g lemak (4 g lemak tepu) dan 105 mg kolestrol. Ini bermakna, jika anda mengambil daging merah dengan kuantiti sama dengan daging putih, kandungan kalori, lemak dan kolestrol di dalam daging merah lebih tinggi sekali ganda.

Bagaimanapun, jika anda mengambil daging putih tanpa membuang kulit dan lemak, ia mengandungi 260 kcal dan 10 g lemak (3 g lemak tepu). Ia menyamai kandungan kalori dan lemak yang ada dalam daging merah dengan kuantiti yang sama.

Daging merah ada kebaikkanya, tetapi seperti yang dikatakan tadi, pengambilan secara berlebihan boleh meningkatkan risiko penyakit kanser. Yayasan Jantung Singapura dan Amerika Syarikat tidak menyebut jumlah pengambilan namun mencadangkan ia diambil secara sederhana dengan potongan bersih.

Manakala Yayasan Jantung Australia mencadangkan pengambilan sebanyak 455 g bagi setiap minggu manakala Tabung Penyelidikan Kanser Dunia pula menetapkan jumlah pengambilan daging merah yang ditetapkan adalah 510 g seminggu namun wajib mengelak makanan daging proses. Kajian menunjukkan pengambilan daging mentah sebanyak 510 g seminggu tidak menunjukkan sebarang risiko kanser, namun pengambilan daging proses menunjukkan peningkatan risiko kanser.

[youtube https://www.youtube.com/watch?v=bbfyoSdiNA4]

 

Sumber : Fitday, Patient Engage

 

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.