Siakap Keli

Tan Sri Richard Melanjum Ketua Hakim Negara Pertama Dari Borneo

Pelantikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara baharu Malaysia, mencipta sejarah bila beliau menjadi orang pertama dari negeri-negeri Borneo menyandang jawatan tertinggi itu dalam bidang kehakiman.

Malanjum, 65, dilantik ke jawatan itu selepas Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif mengemukakan surat peletakan jawatannya pada 31 Julai lalu.

Majlis mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara bermula pada kira-kira 9.30 malam ini, dan disaksikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, Peguam Negara Tommy Thomas, dan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Latifah Mohd Tahar.

Dilahirkan pada 13 Oktober, 1952 di Tuaran, Sabah, Malanjum memulakan persekolahannya di Sekolah Bukit Buit Putatan dan Sekolah Rendah Sacred Heart, Kota Kinabalu sebelum menamatkan pelajaran menengah di Sekolah Menengah La Salle, Kota Kinabalu.

Anak keturunan Kadazandusun ini memulakan kerjayanya sebagai kerani di Jabatan Pelajaran, Jabatan Pertanian, Jabatan Televisyen dan Radio dan sebagai pegawai kebajikan di Jabatan Kebajikan Negeri.

Pada 1972, beliau melanjutkan pelajaran di Institut Teknologi Mara (sekarang Universiti Teknologi Mara) di Shah Alam, Selangor; sebagai pelajar luar kampus University of London dalam bidang Undang-Undang dan telah dianugerahkan Bachelor of Laws (LL.B)(Hons)(London) pada 1975.

Setelah memperoleh ijazah undang-undang, Malanjum berkhidmat di Jabatan Ketua Menteri Sabah dan ditugaskan sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah.

Malanjum telah melanjutkan pelajaran di London dan berjaya menghabiskan pengajian “Bar-at-Law” pada tahun yang sama. Beliau telah diterima masuk ke “The English Bar of the Honourable Society of Gray’s Inn” di London.

Sekembalinya dari London, beliau berkhidmat semula di Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah sebagai Pegawai Undang-Undang/Timbalan Pendakwa Raya.

Pada tahun 1977, beliau diterima masuk sebagai Peguamcara Badan Peguam Malaysia, Sabah dan juga diterima masuk ke “The Australian Capitol Territory” (ACT) Bar pada 1991.

Pada 1981, Malanjum meletak jawatan dan seterusnya menyertai kerjaya guaman persendirian di Kota Kinabalu hingga 1992. Beliau kemudian dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada Mac 1992.

Kemudian pada 1993, beliau diangkat menjadi Hakim Mahkamah Tinggi di Kuching Sarawak. Beliau juga ditugaskan di Mahkamah Tinggi Miri dan Sandakan pada 1994 dan 1996 dan ditukar semula ke Mahkamah Tinggi Kuching pada Mei 2002.

Pada Ogos 2002, beliau dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan dan kemudian pada Jun 2005, dilantik Hakim Mahkamah Persekutuan Malaysia.

Malanjum merupakan anak negeri Sabah yang pertama menjadi Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Mahkamah Rayuan dan juga Hakim Mahkamah Persekutuan.

Pada usia 52, beliau menjadi hakim Mahkamah Tinggi termuda memegang jawatan itu.

Pada 26 Julai 2006 beliau secara rasmi dilantik sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak hingga kini.

Berkahwin dengan Puan Sri Marina Tiu, pasangan itu mempunyai tiga orang anak – Jessica Eleanor, Edgar Richard dan Carl Barnabas. – Bernama

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)