Siakap Keli

ADUN Sungai Bakap Ditidurkan Akibat Keradangan Perut

BUKIT MERTAJAM, 1 Mei (Bernama) — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap Nor Zamri Latiff dari parti PAS menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya(HSJ) di sini kerana mengalami keradangan dalam perut.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Muhammad Fauzi Yusoff yang juga ADUN Sungai Dua berkata beliau dimaklumkan oleh ahli keluarga Nor Zamri berhubung keadaan kesihatan beliau yang ketika ini ditidurkan.

“Saya dimaklumkan beliau mengalami sakit perut dan telah ke Hospital Sungai Bakap dua hari lepas namun dibawa ke HSJ pada hari yang sama untuk rawatan lanjut.

“Nor Zamri ketika ini menerima rawatan di ICU dan ditidurkan, saya difahamkan ketika ini masih belum boleh melawat dan mendapatkan maklumat keadaan kesihatan beliau dari ahli keluarganya dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.

Nor Zambri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lepas menentang calon Pakatan Harapan Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 dengan mendapat undian 15,433.

Sumber: BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.