Siakap Keli

”Kawan Lukis”, Bila Anak Baru Lapan Tahun Sudah ‘Advance’ Dengan Adegan Lucah

Dunia yang kita diami hari ini tidak lagi sama dengan suasana kita, terutamanya buat kanak-kanak yang lahir pada tahun 80 dan 90-an. Cabarannya sangat berbeza, dan sudah tentu tahp pemikiran kanak-kanak di zaman itu dengan kanak-kanak selepas tahun 2000 berbeza.

Berbeza kerana keadaan sekeliling yang jauh berubah. Jika dahulu kanak-kanak yang berumur 7 atau 8 tahun, hanya tahu berlari di tanah, bermain pelbagai permainan tradisional, kanak-kanak sebayanya hari ini sudah celik IT. Telefon di tangan setiap masa dan tahu cara untuk mengakses segala bahan yang tersedia di alam maya, dan sudah tentu, sebahagiannya tanpa pengawasan ibu bapa.

Bukan rahsia lagi, kanak-kanak hari ini sudah ada yang pernah melayari laman sesawang tidak bermoral, melihat dan mempelajari adegan-adegan lucah yang tidak sepatutnya dilihat oleh kanak-kanak.

Malah, ada dalam kalangan kanak-kanak ini sudah terlalu ‘advance’ untuk berbicara perihal dalam selimut, yang kita sebagai orang dewasa pun malu untuk bercakap secara terbuka. Dengan siapa mereka bualkan? Sudah tentu dengan rakan-rakan mereka di sekolah, yang mungkin ibu bapanya sudah pun mendidik mereka dengan cukup baik. Alih-alih, anak orang lain pun terjebak sama.

Macam kisah yang dikongsikan oleh Puan Maryam Aziz ini, mengenai kejadian yang berlaku terhadap anak saudaranya. Menurut Puan Maryam, buku sekolah anak saudaranya yang baru berusia 8 tahun telah diconteng oleh rakan sekelasnya dengan lukisan-lukisan lucah. Jom baca perkongsiannya di bawah, semoga ia bermanfaat buat pembaca kami yang bergelar ibu bapa di luar sana.

Maryam rasa taknak kongsikan cerita ini sebenarnya tapi terasa macam selfishnya Maryam jika simpan sendiri. Setelah berkali kali menimbang tara, Maryam kongsikan juga supaya kita ibu bapa awasi anak kita.

Semalam kami golongan wanita (adik beradik) berbincang hangat dalam group whatsapp. Selalunya kami sembang tentang shopping baju, tudung, masakan, kisah anak anak dan sebagainya. Tapi perbincangan semalam buatkan Maryam rasa sakit kepala stress sehingga ke hari ini.

Semuanya gara gara gambar ni. Gambar ini bukan Maryam ambil dari mana mana random posting. Gambar ni adalah colouring book milik anak saudara perempuan Maryam. Katanya kawan sekelasnya (budak lelaki) yang lukis. Lalu bila balik kerumah, ditunjuk kepada mamanya. Sangat disturbing. Umurnya? Mereka baru darjah dua. 8 tahun.

Haritu Maryam saja buat survey di kalangan kawan kawan facebook Maryam. Apa yang kalian buat diumur 7 tahun dulu? Saat itu Maryam rasa terganggu bila tahu ada yang bercinta seawal umur 7 tahun dan berkahwin di umur 11 tahun. Seingat Maryam diumur begitu masih sibuk bermain batu seremban dan getah zero point.

Hari ini Maryam cuba fikir kembali apa agaknya yang Maryam buat dulu diumur 8 tahun. Rasanya masih gigih mengumpul duit raya untuk beli anak patung barbie dan main monopoly. Tapi zaman sudah terlalu banyak berubah. Sampaikan Maryam rasa tak sempat untuk kejar perubahan ini.

Saya selaku ibu kepada 2 anak lelaki, risaunya tidak tertanggung. Tambah lagi dengan Faheem yang sudah bersekolah. Dan pagi tadi Maryam luahkan untuk kesekian kalinya kepada abang (setelah memanjangkan incident ini kepada abang),

“Inilah sebab kenapa ayang taknak bagi Faheem pergi sekolah biasa. Allah bagi rezeki, kita dapat hantar ke sekolah yang lebih kecil bilangan sekelas dan dapat dipantau rapat oleh cikgu”.

”Sekarang ni ayang tak tahu apa yang Faheem buat di sekolah, tak tau apa yang disembangkan dengan kawan kawan, tak tahu apa yang ditonton pada skrin handphone kawan.. semua ayang tak tahu”

Rasa risau, rasa kecewa. Meskipun dirumah kami memantau apa yang mereka tonton di televisyen, masih rasa seperti ingin buang TV dari rumah supaya tidak ada ruang untuk mereka terdedah dengan bahan lucah.

Itu semua Maryam suarakan kerana kerisauan yang teramat sangat. Tapi Maryam sendiri tahu, pisau ada banyak manfaat. Tapi jika tersalah potong, jari sendiri yang luka. Adakah itu bermaksud kita perlu hidup tanpa pisau? Bukan salah sekolah, bukan salah tv, bukan salah internet.

Berhenti menyalahkan dan ambil langkah penjagaan. Berikan perhatian kepada anak kita. Kepada kecenderungannya. Semak buku sekolah dan buku contengnya. Pantau apa yang mereka lihat di tv dan internet. Lihat bahan bacaan mereka. Kenali dengan siapa mereka berkawan. Selalu berkomunikasi dengan mereka dan korek tentang cerita mereka ketika di luar pengawasan kita. Berikan didikan agama. Wujudkan rasa takut Allah. Berikan didikan seks yang sesuai dengan umur. Dan sentiasalah berdoa supaya Allah memelihara mereka..

Untuk kes tadi, setahu Maryam ibunya seorang yang berkerjaya elok. Tapi Maryam tak tahu bagaimana background keluarganya. Dan Maryam tak tahu punca dia jadi begitu. Tapi insyAllah situasi ini akan diperpanjangkan kepada ibu bapanya.

Mommy risau sangat rasa macam nak homeschool anak-anak. Agaknya kalau dapat anak perempuan, memang Maryam tak bagi pergi sekolah terus huu. Nak keluar rumah wajib dengan mommy.

Sumber : Maryam Aziz

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.