Siakap Keli
KUALA LUMPUR, 16 Julai -- Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin (kanan) dan Anggota Parlimen Kimanis Datuk Seri Anifah Aman tidak berganjak dari kerusi masing-masing ketika sebahagian anggota parlimen pembangkang lain meninggalkan dewan sebagai tanda bantahan dan menolak proses pelantikan Datuk Mohamad Ariff Yusof sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu pada Majlis Angkat Sumpah Anggota Parlimen bagi Persidangan Penggal Pertama Parlimen ke-14 hari ini.?--fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA?

”Perlu Jadi Pembangkang Berwibawa”, KJ Beri Alasan Tidak Sertai Protes Keluar Dewan

Ahli Parlimen Rembau, Yang Berhormat (YB) Khairy Jamaluddin, salah seorang daripada tiga ahli parlimen yang kekal di dalam Dewan Rakyat ketika blok pembangkang diketuai Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membuat protes dengan keluar dewan tampil memberi penjelasan atas tindakannya itu.

”Saya hanya menghormati majlis. Hari ini adalah majlis angkat sumpah, kalau kita hendak buat bantahan pun atau ada pertikaian berkenaan perlantikan Yang Dipertua, ia boleh dibuat dengan cara yang lain,” katanya.

Ujar Khairy lagi, bantahan tersebut juga boleh dibuat melalui perbahasan atau dibuat melaui Peraturan Mesyuarat pada Rabu nanti berbanding dengan cara melakukan protes dan keluar daripada dewan.

Khairy juga pada masa yang sama menyebut bahawa blok pembangkang perlu menunjukkan contoh yang baik sebagai pembangkang yang berwibawa di Dewan Rakyat.

Ketika diajukan soalan berkenaan tindakan seorang veteran UMNO yang menggelarnya sebagai ”Si Tanggang” atas tindak-tanduknya yang dilihat lantang mengkritik kepimpinan sendiri setelah kalah Pemilihan Presiden UMNO yang lalu, Khairy menjelaskan UMNO sekarang adalah berbeza.

‘Sekarang UMNO lebih terbuka. Malah dalam pemilihan parti pun semua calon kata UMNO selepas ini akan jadi lebih terbuka. Saya tidak melampaui batas.

”Saya masih lagi memahami batas disiplin dalam parti UMNO, tetapi apabila pandangan saya perlu dikemukakan, saya rasa dengan keterbukaan yang baru ini, saya rasa tidak ada masalah.

”Saya masih lagi UMNO, saya tidak kemana-mana,” katanya.

Blok pembangkang melibatkan wakil rakyat daripada BN dan PAS diketuai bekas Perdana Menteri itu sebelum ini keluar dewan beramai-ramai selepas tidak berpuas hati dengan proses perlantikan Datuk Mohamad Ariff Yusof sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu.

Bersama-sama Khairy kekal di dalam Dewan Rakyat adalah Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman serta bekas Ketua Puteri UMNO yang kini menjadi ahli parlimen bebas, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.