Siakap Keli

Gajet dan Telefon Pintar, Sejauh Mana Ibu Bapa Mampu Mengawal Anak-Anak Dari Ketagih Gajet

Umum mengetahui teknologi zaman kini telah melangkah jauh seiring kemajuan negara. Gajet kini boleh diguna pakai oleh semua golongan usia termasuklah kanak-kanak. Persoalannya, adakah ianya selamat membiarkan gajet menguasai diri dan minda anak-anak anda?

Teknologi menjadi semakin murah dan boleh dimiliki setiap kumpulan masyarakat merentasi peringkat umur, taraf ekonomi dan juga bangsa.  Pencarian ilmu juga disandarkan kepada kemajuan teknologi hingga setiap orang perlu mempunyai gajet untuk berkomunikasi dan mengakses maklumat(Rujukan 1).

Gambar : FreeMake

Hasil penyelidikan oleh Yayasan Kaiser Family menganggarkan bahawa kanak-kanak menghabiskan tujuh setengah jam dengan hanya menatap skrin. Hasil ini dibandingkan dengan tinjauan global kanak-kanak prasekolah oleh Nature Conservancy yang menunjukkan dimana kanak-kanak prasekolah di seluruh dunia hanya menghabiskan masa setengah jam sehari iaitu 12 jam seminggu di taman permainan atau di luar rumah.

Hal ini bukan satu jenaka dan tidak mustahil, apabila seorang anak meningkat usia, waktu mereka untuk bermain di padang dan meneroka dunia luar juga akan berakhir(Rujukan 2).

Jika kita lihat dari sudut yang positif, gajet memberi banyak faedah kepada anak-anak seiring dengan peredaran zaman teknologi kini. Faedah tersebut termasuklah :

  • Gajet boleh membantu kanak-kanak merangsang pancaindera dan imaginasi mereka. Sesetengah penggunaan boleh membantu meningkatkan keupayaan mendengar bagi merangsang perkembangan otak dan minda mereka supaya lebih peka.
  • Gajet menggalakkan pembelajaran kognitif dan perkembangan kemahiran analisis. Ini mungkin membantu kanak-kanak membina kemahiran berfikir dan penyelidikan inovatif, pemikiran strategik, dan kreativiti.
  • Penggunaan komputer boleh meningkatkan kecekapan manual dan membina celik komputer.
  • Menguasai permainan membina keyakinan dan membangunkan koordinasi mata-mata.
  • Permainan yang menggalakkan kanak-kanak untuk meningkatkan tahap dan memperoleh markah tinggi dapat membantu mengembangkan kemahiran matematik dan kejuruteraan, serta motivasi untuk memenuhi matlamat (Rujukan 3).

Gajet juga dapat membantu anak-anak untuk berkomunikasi dengan baik disamping membentuk minda anak-anak menjadi lebih cergas dan dapat membantu mereka belajar. Namun jika dilihat dari sudut yang sebaliknya, gajet akan membuatkan anak-anak berkelakuan anti-sosial dan hal ini akan merosakkan masa kecil mereka.

Peranan ibu bapa sangat penting untuk menangani masalah ini. Ibu bapa mungkin kurang peka terhadap masalah ini kerana bagi mereka, dunia luar lebih bahaya, jadi lebih baik duduk dalam rumah dan bagi anak-anak main gajet. Tetapi mereka tidak sedar sebenarnya duduk dirumah dan bermain gajet itu juga akan mendatangkan bahaya kepada anak-anak.

Kanak-kanak yang terdedah terlalu lama dengan gajet akan mengalami ketagihan yang teruk. Bagaimana ibu bapa dapat mengenal pasti sama ada anak-anak mereka sudah ketagih gajet? Berikut adalah tanda-tanda anak anda mungkin telah ketagih gajet.

  1. Tak boleh berenggang dengan gajet – Ibu bapa boleh mengenal pasti sama ada anak-anak mereka telah ketagih apabila mereka tidak mahu berjauhan dengan gajet mereka walaupun untuk ke tandas. Lebih parah apabila ada dalam kalangan anak-anak yang sanggup berlapar untuk bermain gajet.
    Gambar : Yahoo
  2. Menjadi ganas – Permainan yang tersedia dalam gajet juga memperlihatkan aksi-aksi yang ganas dan tidak sesuai seperti memukul, menghentak, membaling dan sebagainya. Perlu diketahui bahawa kanak kanak berusia bawah enam tahun masib belum boleh membezakan dunia nyata dan alam maya atau khayalan. Bagi mereka semua adalah nyata, jadi aksi yang melampau dan tidak sesuai pada peringkat usia mereka ini boleh menyebabkan mereka mentafsir bahawa ianya adalah perkara biasa dan normal.
    Gambar :fydanoh.com

     

  3. Tidak Bersabar – Kanak kanak yang ketagihan gajet juga dikatakan mempunyai tahap kesabaran yang rendah. Bagi sesetengah situasi yang memerlukan mereka untuk sabar, duduk diam dan mendengar seperti didalam kelas akan menjadi satu tekanan buat mereka. Mereka tidak akan dapat fokus dalam kelas kerana asyik teringatkan gajet setelah tamat waktu sekolah nanti. Bagi kanak kanak yang berusia bawah 6 tahun, mereka akan melepaskan kemarahan terhadap sesuatu yang menguji kesabaran mereka seperti apabila bateri gajet habis, mereka akan menangis, menghempas dan membaling gajet atau barang berhampiran. Mereka tidak boleh menahan sabar atas perkara perkara yang membuatkan mereka menunggu. Hali ni sangat merbahaya.
    Gambar : plumaslibres.com.mx

     

  4. Tahap kemahiran komunikasi yang lemah – Satu lagi kesan buruk yang sering dihadapi oleh kanak kanak yang ketagihan gajet dan boleh memberi kesan terhadap masa depan mereka ialah tahap komunikasi yang lemah. Kanak kanak seperti ini hanya menjadikan gajet sebagai teman mereka dan tiada hubungan komunikasi 2 hala yang berlaku. Mereka mudah mengikut apa yang mereka lihat walaupun tidak tahu ia betul ataupun salah. Keadaan ini juga boleh menyebabkan kanak kanak lambat bercakap, tidak mahu berbual, tidak mahu berkawan, dan sukar untuk menyampaikan apa yang ingin mereka fikir atau rasakan. Mereka akan banyak memendam dan mendiamkan diri.
    Gambar : Medina-center

     

  5. Kemahiran fizikal lemah dan terbantut – Dari sudut perkembangan saraf dan sensori pula, ketagihan gajet menyebabkan kanak kanak ini mempunyai tahap perkembangan fizikal yang rendah. Mereka akan kurang melakukan aktiviti fizikal dan juga tidak suka meneroka seperti kanak kanak normal. Mereka juga akan kurang meluangkan masa diluar rumah untuk berbasikal, bermain bola atau bersama rakan-rakan sebaya yang lain. Aktiviti-aktiviti ringan dirumah seperti memulas tombol pintu, membuka botol, memegang pensil, menulis juga akan menjadi kesukaran buat mereka(Rujukan 4).

Namun, tidak semua gajet berunsurkan negatif. Penggunaan gajet ini sebenarnya boleh menjadi alat untuk membantu anak-anak belajar dengan lebih cekap. Yang pasti, penggunaan gajet mestilah dibawah pengawasan ibu bapa. Jadi, bagaimana ibu bapa mengawalnya?

Melalui Contoh Teladan

Ibu bapa seringkali menggunakan gajet dihadapan anak-anak dan ini menyebabkan anak-anak turut menggunakan gajet secara keterlaluan.

Jadi, apa yang perlu ibu bapa lakukan ialah dengan mengurangkan penggunaan gajet dihadapan anak-anak. Tunjukkan melalui teladan dan biar anak-anak melihat anda tidak terlalu berkepit dengan gajet, jadi anak-anak juga akan mengikut langkah ibu bapa mereka.

Peraturan Menggunakan Gajet

Jika ibu bapa membiarkan saja anak-anak bermain gajet tanpa aturan, sudah pasti akan timbul masalah dan anak-anak akan lebih ketagih.

Cuba untuk menetapkan peraturan yang ketat dan tegas untuk anak-anak dalam penggunaan gajet. Tetapkan berapa jam masa mereka untuk bermain gajet, tempat khusus untuk mereka bermain gajet seperti diruang tamu atau satu sudut untuk mereka dan mereka tidak dibenarkan untuk bermain gajet jika sedang berkumpul bersama keluarga.

Gambar : Your Teen Magazine

Tentukan Aplikasi Yang Digunakan Dan Selalu Pantau

Kawal aplikasi yang anak-anak muat turun agar tidak terdedah dengan aplikasi-aplikasi yang negatif dan tidak sesuai dengan mereka. Internet browser kini ada ‘Child Lock’ yang dapat menghalang mereka dari memuat turun segala aplikasi yang tidak sesuai untuk mereka.

Ajar anak-anak untuk meminta izin anda sebelum mereka dapat memuat turun apa-apa aplikasi di google play atau playstore.

Jadikan Gajet Sebagai Ganjaran Dan Hukuman

Ibu Bapa boleh juga menjadikan gajet sebagai ganjaran bagi anak-anak supaya mereka tidak terlalu menghadap gajet semata. Contohnya menyuruh anak-anak melakukan sesuatu dan memberi ganjaran balasan atas bantuan mereka seperti :

  • Mengurut ibu/papa : 2 minit masa tambahan setiap seminit masa urut.
  • Basuh pinggan mangkuk : 1 jam masa tambahan.
  • Bantu ibu/papa buang sampah : 30 minit masa tambahan bermain gajet(Rujukan 5).

Selain itu, kajian juga ada melaporkan bahawa menurut kebiasaanya, ibu bapa akan bercakap dalam 940 patah perkataan per jam apabila anak-anak ada bersama mereka. Itupun jika ibu bapa tersebut prihatin dan rajin bersembang. Namun, apabila TV di pasang, bilangan patah perkataan ini jatuh hingga ke 770 patah per jam.

Semakin kurang perkataan yang di sebut, semakin kuranglah pembelajaran perkataan baru. Semakin kurang jugalah kosakata yang boleh disimpan dalam lexical database otak kita. Antara sebab ramai anak yang lambat bercakap juga adalah di sebabkan oleh kurangnya perbualan antara ibubapa dan anak-anak. Semua ini disebabkan gajet yang telah mengambil alih tugas ibu bapa bersama anak-anak(Rujukan 6).

Agak mustahil untuk ibu bapa untuk menjauh dari kemajuan teknologi zaman kini. Bayangkan, di rumah saja sudah berapa banyak gajet yang kita semua ada. Seorang individu juga mempunyai dua atau tiga gajet persendirian.

Dan bagi anak-anak, mereka akan mempunyai perasaan ingin tahu dan cuba untuk meniru apa jua yang ibu bapa lakukan. Tingkah laku ibu bapa merupakan sumber rujukan utama untuk mereka(Rujukan 7).

Jika ibu bapa boleh meluangkan sikit masa untuk mereka tanpa memegang sebarang gajet, anak-anak juga akan melakukan hal yang sama untuk ibu bapa dewasa kelak. Gajet memang bagus untuk teknologi zaman kini, tetapi sebagai ibu bapa, kita mestilah memantau dan menyekat sedikit kebebasan mereka bersosial di alam maya supaya mereka dapat membezakan di antara realiti dan fantasi.

Rujukan :

  1. Myhealth.gov.my
  2. Mother Earth Living
  3. WeHaveKids.com
  4. Sweet Mommy Story
  5. Bidadari.my
  6. Universiti Kebangsaan Malaysia -Wadah ICT
  7. FreeMake.com

Amy Noreffaziera

Jatuh bangun sendiri.. Tiada apa yang mustahil selagi kita berusaha..
_Jinsei o tsuyoku shite tatakau (Keep strong and fighting for life)_ =D ..#Ridergirl #Amiey