Siakap Keli

Belanja Semua Wang Di Bar, Pemuda Malaysia Ditangkap Polis Thailand Buat Laporan Palsu Kena Rompak

Seorang pemuda warga Malaysia yang membelanjakan semuanya di sebuah bar di Chianmai, Thailand sehingga habis wang untuk pulang ke tanah air mungkin terpaksa menghabiskan beberapa tahun di penjara kerana membuat laporan palsu kepada polis kononnya telah dirompak pelancong barat yang bersenjatakan pisau.

Menurut polis Chianmai, siasatan mereka mendapati pemuda itu yang berusia 20 tahun sebernarnya terdesak membuat laporan palsu itu bagi mendorong ayahnya menghantar wang kepadanya untuk pulang ke Malaysia setelah semua wangnya habis dihabiskan untuk berhibur di sebuah bar.

Anggota polis dari Balai Polis Mueng di Chiangmai telah melakukan siasatan di tempat kejadian sebaik menerima laporan pemuda itu pada Jumaat dengan menemuramah penduduk setempat namun mendapati tiada sebarang kejadian seperti yang dilaporkan itu.

“Kami tidak menemui sebarang bukti kejadian rompakan seperti yang didakwa dan lelaki Malaysia itu akhirnya mengakui membuat laporan palsu adalah sebagai helah setelah dia mengabiskan semua wangnya di sebuah bar,” kata sumber polis seperti dilaporkan BERNAMA.

Menurut sumber itu lagi, pemuda berkenaan memberitahu polis bahawa dia memerlukan laporan polis itu bagi menyakinkan bapanya supaya menghantar lebih banyak wang bagi membolehkannya pulang ke Malaysia.

Pemuda itu turut mendakwa tidak mempunyai sesen pun untuk pulang ke Malaysia setelah menghabiskan kesemua RM2,000 (16,000 Baht) yang ada padanya untuk minum minuman keras dan berhibur di sebuah bar pada malam dakwaan kejadian rompakan itu.

Pemuda yang sama turut mendakwa dia salah seorang dari keluarga seorang ahli perniagaan tiba di Chiangmai bersendirian pada Khamis 10 malam waktu tempatan.

Sekiranya bersalah kerana membuat laporan palsu, rakyat Malaysia itu menghadapi kemungkinan dipenjara tiga tahun dan denda 10,000 Baht (RM1,250) atau diberi penangguhan hukuman bergantung kepada budi bicara hakim.

“Apa yang dia telah lakukan adalah satu jenayah (memfailkan laporan palsu) dan hukumannya adalah penjara. Ia merupakan perkara besar di negara kami sekiranya kejadian itu benar-benar berlaku,” kata sumber itu sambil menambah rompakan terhadap pelancong mencemar imej Thailand sebagai destinasi pelancongan.

Lebih teruk, pemuda itu bakal berhadapan hukuman lebih berat daripada pihak berkuasa Thailand kerana dia didakwa menawarkan 20,000 Baht (RM2,500) kepada anggota polis sebagai dorongan supaya menggugurkan kes terhadapnya.

“Pemuda Malaysia ini mungkin merasakan ianya suatu gurauan dengan menawarkan bayaran bagi kami melupakan kes tersebut. Ini bukan caranya,” katanya sambil menambah bahawa rompakan adalah kesalahan serius di Thailand di mana sabit kesalahan boleh dihukum penjara seumur hidup oleh mahkamah.

Menurut sumber itu lagi , lelaki Malaysia itu tidak dibenarkan ikat jamin dan kini ditahan pihak polis sehingga dihadapkan ke mahkamah berkemungkinan minggu hadapan.

Polis tidak membenarkan ikan jamin kerana bimbing lelaki itu meninggalkan Thailand dan pulang ke Malaysia.

Bernama difahamkan bapa pemuda itu akan tiba di Chiangmai dalam masa terdekat.

Sumber : BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.