Siakap Keli

Lapan Cedera Termasuk Kanak-Kanak Akibat Kemalangan Babitkan Lima Kenderaan

Portal berita BERNAMA hari ini melaporkan lapan orang termasuk seorang kanak-kanak lelaki cedera dalam kemalangan membabitkan empat kereta dan sebuah lori di KM19 Jalan Endau-Mersing, dekat Mersing, petang semalam.

Menurut kenyataan Ketua Polis Daerah Mersing Supt Cyril Edward Nuing berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 6.45 petang secara keseluruhan membabitkan 16 mangsa berusia antara lima dan 55 tahun yang menaiki Perodua Alza, Naza Citra, Perodua Kancil, lori ikan serta Toyota Camry.

Beliau berkata kejadian berpunca daripada Perodua Alza dinaiki enam sekeluarga termasuk kanak-kanak lelaki terbabit yang secara tiba-tiba hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

“Kejadian menyebabkan Perodua Alza dari arah Endau ke bandar Mersing terbabit berlanggar dengan sebuah Naza Citra dan kereta Perodua Kancil yang berada di belakang Naza Citra.

“Akibat pelanggaran, Perodua Kancil terbabit berpusing dan melanggar pula Toyota Camry di belakang manakala Perodua Alza yang kemudian memasuki laluan asal berlanggar dengan sebuah lori ikan,” katanya.

Ujar Cyril lagi, sebuah Proton Saga dan Proton Satria dari arah Endau ke Mersing cuba mengelak kemalangan tersebut, namun terbabas ke kiri bahu jalan.

Kedua-dua kenderaan itu, bagaimanapun tidak melanggar antara satu sama lain dan lima kenderaan yang terlibat dalam kemalangan awal tersebut, katanya.

Kesemua yang cedera dibawa ke Hospital Mersing bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Sumber : BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.