Siakap Keli

Lelaki Culas Bayar Nafkah Usung Duit Syiling Berat Hampir Satu Tan Ke Mahkamah Bayar Tunggakan Nafkah 9 Tahun

Seorang pejawat awam di Indonesia yang diarahkan mahkamah untuk membayar nafkah tertunggak selama sembilan tahun berjumlah Rp 153 juta (RM 42,980) kepada isterinya, menjelaskan tunggakan tersebut dengan wang syiling, lapor akhbar tempatan, Kompas semalam.

Tindakan Dwi Susilarto (54) hadir ke mahkamah membawa 13 kampit duit syiling seberat 890 kilogram yang diangkut menggunakan kereta sorong mencetuskan suasana tegang di Pejabat Pengadilan Agama Kabupaten Karanganyar.

Malah, Susilarto turut bertegang urat dengan peguam yang mewakili isterinya, Hermi Setyowati yang beranggapan bahawa tindakan Susilarto sebagai satu penghinaan kepada anak guamnya.

Bagaimanapun tuduhan itu dinafikan oleh peguam yang mewakili Susilarto, Sutarto yang memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya adalah seorang lelaki yang berpendapatan rendah dan wang syiling yang digunakan untuk membayar tunggakan nafkah itu diperolehi hasil pinjaman daripada sahabat handai dan keluarganya.

”Saya dapat tahu ada sekitar 13 kampit duit syiling. anak guam saya memberitahu wang syiling itu dipinjam daripada sahabat dan keluarganya,” kata Sutarto yang memberitahu Susilarto mengambil masa sekitar sebulan untuk mengumpul bayaran tunggakkan itu.

Sutarto turut memaklum bahawa jumlah sebenar duit syiling itu masih belum diketahui dan masih dalam pengiraan mahkamah.

”Kami akan dimaklumkan mahkamah selepas pengiraan selesai. Kalau jumlah bayaran yang dibuat melebihi tunggakan (RM 42,980), mahkamah akan pulangkan lebihan itu. Jika tidak cukup, maka kami terpaksa membuat bayaran tambahan,” katanya lagi.

Susilarto sebelum ini hanya diarahkan membayar sekitar Rp 40 juta (RM 11,224) oleh mahkamah Pengadilan Agama Kabupaten Karanganyar. Namun kerana tidak berpuas hati, Susilarto kemudian membawa kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Agama Semarang.

Malangnya, tindakan tersebut memakan diri apabila pengiraan baru yang dibuat oleh mahkamah tinggi tersebut meningkat hampir 400 peratus menjadi Rp 153 juta.

Sumber : Kompas

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.