Siakap Keli

Dikecam Netizen Dan Dilapor Kepada Facebook Kerana Guna ‘Certot’, Dr. Maszlee Mohon Maaf

Beberapa hari lalu Dr. Maszlee, Menteri Pendidikan Malaysia menjemput semua rakyat Malaysia untuk meluahkan rasa cinta terhadap negara melalui pertandingan penulisan cerita-cerita kontot (Certot).

Pun begitu, baru-baru ini penggunaan ayat ‘certot’ ini telah dikecam netizen apabila ia dikatakan membawa kontonasi tidak baik.  Akibat penggunaan ayat tersebut, beberapa pengguna Facebook telah membuat laporan di Facebook berkaitan post tersebut sehingga membuatkan Maszlee memuat naik kenyataan memohon maaf melalui laman Facebook miliknya.

Menurut beliau, perkataan tersebut diambil melalui karya sasterawan negara seperti Othman Puteh di dalam buku Teori Penulisan Kreatif.  Katanya, perkataan itu diambil bagi merujuk kepada cerita kontot yang jumlah perkataannya kurang daripada 500 patah perkataan.

“CERTOT” DAN EVOLUSI BAHASA

1. Saya memohon maaf kerana pengumuman berkenaan peraduan “certot” terpaksa dibuat semula disebabkan beberapa pengguna Facebook dengan akaun palsu telah membuat laporan di Facebook berkaitan “post” tersebut. Bertungkus-lumus benar mereka mahu menyekat aktiviti-aktiviti yang Pihak Kementerian anjurkan. Alangkah bagusnya jika kesungguhan itu dimanfaatkan bagi membantu membangunkan negara kita.

2. Di sini saya juga ingin menegaskan bahawa perkataan “certot” tidak membawa sebarang konotasi tidak baik. Penggunaan akronim ini juga tidak menjadi kesalahan. Akronim ini saya ambil hasil bacaan saya melalui karya-karya sasterawan negara, khususnya SN Othman Puteh di dalam bukunya Teori Penulisan Kreatif. Jika hendak diikutkan, banyak lagi perkataan-perkataan baru yang dicipta oleh pengarang-pengarang tempatan tetapi masih tidak diwartakan di dalam kamus dewan.

3. Kenapa tidak menggunakan perkataan “cerpen”? Profesor Emeritus Abu Bakar Hamid menjelaskan bahawa definisi cerpen ialah cerita pendek yang jumlah perkataannya mesti melebihi 500 patah perkataan. Strukturnya mesti kemas dan sempurna. Saya menggunakan akronim (portmanteau) certot yang merujuk kepada cerita kontot yang jumlah perkataannya kurang daripada 500 patah perkataan. Saya mahu ia santai dan memudahkan kerana saya tahu, tidak semua rakyat Malaysia mampu menghasilkan sebuah cerpen. Tetapi semua rakyat Malaysia mampu menterjemahkan rasa cinta mereka terhadap negara.

4. Bahasa tidak seharusnya bersifat statik sebaliknya berevolusi. Saya membaca karya-karya Shahnon Ahmad dan Azizi Haji Abdullah dahulu. Banyak istilah utara yang diperkenalkan oleh mereka berdua dan kemudiannya baru diwartakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka seperti istilah “menerung”, “pongah”, “kelepiar”, “sereyat”. Setiap perkataan membawa taksa budaya dan adat setempat. Istilah yang digunakan di utara berbeza dengan istilah yang digunakan di pantai timur. P. Ramlee pernah mempopularkan perkataan “kugiran” bagi frasa kumpulan gitar rancak. Perkataan itu akhirnya dibakukan. Begitulah evolusi bahasa berlaku.

5. Pembinaan kamus dibuat melalui rakaman penggunaan dalam korpus. Maka, setiap kewujudan perkataan baru ditentukan kegunaannya oleh masyarakat. Sekiranya perkataan itu popular dan meluas digunakan, ia akan dimasukkan ke dalam kamus dewan. Misalnya, perkataan “ori” pernah menjadi kontroversi kerana ia dibahaskan di Parlimen pada tahun 1996, akhirnya dimasukkan ke dalam Kamus Dewan Edisi Keempat sebagai Bahasa Percakapan. Sekarang DBP sedang berusaha menyiapkan manuskrip kamus terbesar yang akan mengumpulkan semua perkataan-perkataan baru termasuklah perkataan-perkataan yang meluas digunakan di media sosial seperti perkataan “trending” yang telah diterjemahkan kepada “sohor kini”. Marilah kita sama-sama menggunakannya.

6. Saya menerima dan mendengar semua kritikan tetapi saya fikir, pengkritik yang baik ialah pengkritik yang menggunakan laras bahasa yang baik. Kegagalan berbahasa dengan bahasa yang baik mahupun tidak bersetuju kepada sesuatu perkara berpunca daripada masalah sikap dan perangai. Bahasa menterjemahkan sikap dan perangai kita. Rosak bahasa bermaksud rosak perangai. Pendidikan yang baik bermula daripada penggunaan bahasa yang baik. Kita semua harus bergerak ke arah itu.

7. Marilah kita sama-sama menyemai semula budi yang sudah mengalir sejak turun-temurun dalam bebuluh darah keturunan kita. Hari ini orang mengenali bangsa Malaysia ialah bangsa yang berbudi dan hormat-menghormati, usahlah rosakkan anggapan itu. Berdebat dan berbincanglah sepanjang mana pun, tetapi usah sesekali melanggar pagar budi. Pepatah mengatakan, hilang bahasa, hilanglah bangsa.

8. Akhir sekali, saya berterima kasih kepada semua yang berusaha memeriahkan usaha Pihak Kementerian demi melestarikan sikap cintakan negara kepada semua rakyat Malaysia, dan saya mahu menyarankan rakyat Malaysia membaca sebuah buku yang ditulis oleh Pendeta Za’ba, judulnya “Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri.”

Dr Maszlee Malik
Menteri Pendidikan Malaysia

Nur Farra