Siakap Keli

(Video)Dua Bulan Selepas Dibenarkan Memandu, CCTV Rakam Pencuri Kereta Wanita Pertama Di Arab Saudi

Seorang wanita yang terakam di dalam CCTV sedang mencuri kenderaan yang didakwa sebagai pencuri kereta wanita pertama di Arab Saudi, hanya dua bulan selepas kerajaan negara berkenaan menghapuskan larangan yang tidak membenarkan wanita memandu.

Rakaman tersebut yang dipercayai daripada wilayah Al-Dammam, menunjukkan seorang wanita sedang mengumpil pintu sebuah kenderaan bewarna merah sebelum melarikannya.

Melalui klip video yang sama, sebuah kenderaan bewarna putih turut kelihatan menunggu, dipercayai rakan subahat kepada wanita tersebut. Wanita itu sebelumnya dilihat keluar daripada kenderaan berwarna putih tersebut dan kemudian dilihat memerhati kawasan sekeliling dipercayai untuk memeriksa keadaan.

Bagaimanapun, rakaman tersebut yang tular di media sosial telah menimbulkan perdebatan dalam kalangan netizen dengan ada yang mempersoalkan kesahihan rakaman tersebut. Sebahagiannya pula menganggap rakaman tersebut mungkin adalah satu ‘prank’.

Arab Saudi sebelum ini menjadi satu-satunya negara di dunia yang mengenakan larangan memandu ke atas wanita. Namun, kehadiran putera Mahkota Saudi, Mohammed Bin Salman yang berikrar untuk menghapuskan penindasan dan tekanan melampau ke atas wanita, menjanjikan sedikit kebebasan untuk mereka, antaranya dibenarkan memandu.

Jun yang lalu, kerajaan Arab Saudi bertindak mengeluarkan lesen pemandu wanita pertamanya setelah berdekad-dekad larangan dikenakan. Ada juga pemandu wanita yang menukar lesen memandu asing dengan lesen memandu wanita tempatan selepas melalui beberapa siri ujian memandu.

Dianggarkan seramai 3 juta pemandu wanita Arab Saudi akan memohon untuk memiliki lesen memandu menjelang tahun 2020. Media antarabangsa turut melaporkan ketika ini sekolah-sekolah memandu yang dibuka khas untuk wanita sudah penuh, termasuklah wanita-wanita yang berhajat untuk mendapatkan lesen memandu motosikal berkuasa tinggi.

[youtube https://www.youtube.com/watch?v=BOFHvyilPjQ]

 

Sumber : Dailymail

 

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.