Siakap Keli

Jaga Kesihatan Anda Kerana Ini 8 Jenis Ubat Dan Rawatan Paling Mahal Di Dunia

Kesihatan yang baik adalah idaman setiap manusia di atas muka bumi ini. Percayalah, manusia sanggup buat apa sahaja asalkan dapat memiliki tubuh badan yang sihat. Bukan apa, sedar tak sedar dalam melakukan setiap pekerjaan, kita sememangnya sangat bergantung harap kepada badan yang sihat.

Begitupun, bukan semua bernasib baik. Ada yang sedari lahir, sudah ditakdirkan menanggung derita penyakit tertentu. Mencuba pelbagai rawatan yang menelan kos yang sangat besar, hanya semata-mata mahukan hidup yang sihat dan ceria sepertin insan yang lain. Buat mereka yang sememangnya diberi rezeki oleh Tuhan untuk memiliki kesihatan yang baik sentiasa, jagalah.

Mengapa? Jika anda ditimpa penyakit, mungkin anda terpaksa mendapatkan rawatan menggunakan salah satu ubat di bawah. Anda tentu tidak mahu kerana ini adalah 8 jenis ubat dan rawatan paling mahal di dunia.

8. Myozyme

Myozyme adalah rawatan untuk penyakit Pope, iaitu sejenis penyakit jarang-jarang berlaku yang menyerang jantung dan otot-otot skeletel. Sekiranya penyakit ini menyerang anda sewaktu anda masih bayi atau bayi anda, biasanya bayi berkenaan hanya mampu bertahan untuk hidup pada tahun pertama sahaja.

Myozyme merupakan enzim khas lysosomal glycogen, yang dihasilkan untuk meningkatkan daya kelangsungan hidup pesakit dan mengurangkan kebergantungan kepada ventilator. Menurut rekod, anda terpaksa membelanjakan sekitar USD 100,000 – 300,000 (RM 414,000 – 1,242,630) setahun.

7. Acthar

Acthar adalah ubat yang dihasilkan bagi merawat masalah kekejangan dan sawan pada bayi. Penyakit ini kebiasaannya meyerang kanak-kanak seawal usia 4 sehingga 11 bulan, tetapi Achtar juga dibenarkan untuk digunakan untuk merawat kanak-kanak yang diserang penyakit yang sama pada usia 2 tahun ke atas.

Selain kanak-kanak, ubat yang sama juga digunakan untuk merawat orang lebih dewasa yang menghidapi masalah yang sama. Kos untuk menggunakan Achtar boleh mencecah sehingga USD 200,000 (RM 828,420). Bagaimanapun kajian berterusan dibuat oleh penyelidik mendapati bahawa rawatan yang lebih murah juga berupaya untuk merawat penyakit yang sama.

6. Folotyn

Folotyn digunakan sebagai terapi untuk merawat kanser jarang berlaku, T-cell lymphoma. Terapi Folotyn ini dianggap sebagai pilihan terakhir untuk merawat penyakit berkenaan yang biasanya memakan masa selama 6 minggu.

Terapi ini menelan kos sebanyak USD 320,000 (RM 1,325,472). Walaupun menelan kos yang tinggi, ia tidaklah berupaya untuk memanjangkan umur pesakit kepada tempoh yang begitu lama, sebab itulah terapi Folotyn hanya digunakan sebagai pilihan terakhir sahaja.

5. Cinryze

Cinryze digunakan untuk merawat penyakit dikenali sebagai angioedema. Di Amerika Syarikat, dianggarkan terdapat sekitar 50,000 orang pesakit. Menelan kos sehingga USD 350,000 (RM 1,449,735) setahun, ubat ini diambil dengan cara menelan.

4. Naglazyme

Naglazyme adalah ubat yang digunakan untuk merawat sindrom Maroteaux-Lamy, satu keadaan dimana ia mengganggu tisu kognitif. Antara sindrom-sindrom biasa yang ditunjukkan adalah saiz yang kerdil, tumbesaran yang terencat, masalah jantung dan kerosakkan pada otak. Untuk mendapatkan ubat ini, anda perlu membelanjakan sebanyak USD 365,000 (RM 1,511,866).

3. Elaprase

Elaprase digunakan untuk merawat sindrom Hunter, satu jenis penyakit sangat-sangat jarang berlaku yang hanya menyerang sekitar 500 orang sahaja yang mana merencatkan fungsi otak dan perkembangan tubuh. Kos tahunan untuk mendapat ubat dan rawatan ini boleh mencecah sehingga USD 500,000 (RM 2,071,050).

2. Soliris

‘Meragut’ duit pesakit sehingga USD 700,000 (RM 2,899,470) setahun, ini adalah harga yang anda perlu bayar jika perlu mendapatkan Soliris.

Soliris digunakan untuk merawat penyakit paroxysmal nocturnal hemoglobinuria yang hanya menyerang sebanyak 8000 orang sahaja di seluruh dunia. Penyakit ini menyerang sel darah merah sekaligus menyebabkan pesakit mudah diserang penyakit, anemia dan darah beku.

Pada 2017, kerajaan Kanada pernah meminta syarikat pengeluar, Alexion Pharmaceuticals untuk mengurangkan harga ubat itu kerana dianggap terlalu tinggi.

1. Glybera

Pada 2015, Glybera memintas Soliris untuk menjadi ubat paling mahal di dunia. Kos untuk mendapatkan rawatan menggunakan ubat ini melebihi USD 1.2 juta (RM 4.97 juta) setahun. Bukan semua negara menawarkan rawatan menggunakan ubat ini dan kebanyakkan negara yang berupaya untuk menyediakan rawatan menggunakan Glybera berpangkalan di Eropah.

Glybera digunakan untuk merawat penyakit kekurangan familial lipoprotein lipase, sejenis penyakit yang hanya dihidapi oleh 1,200 orang di Eropah dan 1 juta orang di seluruh dunia.

Syarikat pengeluar, UniQure pada 2017 tidak bercadang untuk memperbaharui lesen pengeluaran di Eropah disebabkan mengalami kesukaran daripada segi jualan kerana harga yang tinggi.

Itulah 8 jenis ubat dan rawatan paling mahal di dunia. Ubat semuanya mahal kerana perniagaan kesihatan adalah sesuatu yang sangat menguntungkan. Secara global, syarikat-syarikat pengeluar ubat secara bersama membuat untung sebanyak USD 1.3 trilion (RM 5.3 trilion).

Mungkin, bagi sesetngah pesakit, yang menghidapi penyakit berbahaya jarang-jarang berlaku dan tidak mempunyai kemampuan dari segi kewangan, mungkin mati adalah lebih baik. Mungkin.

Sumber : The Balance

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.