Sekurang-kurangnya 10 orang dilaporkan terkorban dalam kejadian gempa bumi yang melanda utara Haiti, mengikut laporan portal berita antarabangsa BBC sebentar tadi.
Gempa bumi berkenaan yang berkekuatan 5.9 magnitud adalah antara yang terkuat melanda Kepulaun Caribbean sejak gempa kuat pada 2010 yang menyaksikan sekitar 200,000 orang terkorban.
Beberapa buah premis kediaman dilaporkan musnah. Presiden Haiti, Jovenel Moise dalam satu kenyataan meminta orang ramai agar tidak panik dan bertenang.
Sementera itu, jurucakap kerajaan daripada agensi pengurusan bencana, Eddy Jackson Alexis berkata, satu jawatan kuasa khas ketika ini sedang ditubuhkan.
Menurut laporan Pusat Geologikal Amerika Syarikat, gempa bumi berkenaan yang berpusat kira-kira 19 kilometer barat laut bandar Port-de-Paix, berlaku lewat malam Sabtu.
Sebelum ini, gempa bumi kuat yang melanda Pulau Sulawesi yang mencetuskan tsunami menyaksikan lebih daripada 1500 mangsa terkorban dan ribuan lagi hilang.
Sumber : BBC