Siakap Keli
Gambar : Bernama

(Video) Sidang Media Dr.Mujahid Jelaskan Beberapa Perkara Berbangkit Sebelum Ini

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dr. Mujahid Yusof Rawa melalui satu sidang media sebentar tadi membuat penjelasan mengenai beberapa isu yang hangat diperkatakan sebelum ini.

Ujar beliau, terdapat beberapa rumusan yang diperoleh daripada Persidangan Meja Bulat Falsafah dan Tatacara Hukuman Jenayah Syariah Dalam Mencapai Matlamat Rahmatan Lil Alamin yang bertempat di Dewan Persidangan International Institute Of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia yang berlangsung sebelum sidang media berkenaan.

Rumusan ini katanya akan menjawab beberapa persoalan yang dibahaskan oleh media-media sebelum ini.

”Antara lain yang kita bersetuju ialah pelaksanaan hukuman jenayah syariah perlu mencari keseimbangan diantara pembalasan dan pemulihan,” katanya.

Ujar beliau lagi, dalam pebincangan panjang berkenaan, pihaknya ketika ini sedang beralih daripada falsafah kehakiman iaitu sekadar menghukum kepada pendekatan yang lebih reformatif yang mungkin memberi kesan kepada kaedah hukuman itu dikenakan.

”Bukan sahaja yang ada pada hari ini, tetapi juga tatacara penghakiman mahkamah syariah seperti aspek-aspek yang bersifat kerja-kerja komuniti, bon berlakuan baik dan lain-lain aspek yang sesuai dengan pendekatan reformatif.

Selain itu katanya, melalui persidangan itu juga mereka bersetuju bahawa aspek taubat dan keampunan serta pembaik pulih sebagai salah satu elemen penting dalam struktur perundangan syariah.

”Faktor-faktor yang diambil kira sebelum menjatuhkan hukuman juga perlu diperluaskan termasuklah umur, kesihatan dan kemaslahatan pesalah,” katanya.

Walaupun mungkin sudah ada dalam pertimbangan hakim sebelum membuat keputusan, bagaimanapun beliau menjelaskan perlu ada penegasan semula berpandukan rahmatan lil alamin yang menjadi gagasan utama dalam falsafah dan tatacara hukuman jenayah syariah.

Selain itu, antara perkara lain yang turut disebut beliau dalam sidang media berkenaan juga adalah perlu penambahbaikkan terhadap sistem penghakiman jenayah syariah.

Mujahid turut menyebut antara yang dibincangkan dalam persidangan meja bulat dan dipersetujui termasuklah isu-isu yang disebut dalam temu bual dengan akhbar berbahasa Inggeris berkenaan sebelum ini.

”Konsep rahmatan lil alamin turut mengambil kira penjagaan keaiban manusia. Pengintipan sebagai contoh dan juga aspek-aspek lain yang perlu dibuat dengan asas yang kukuh dan dengan fakta dan keyakinan yang jelas,” tambah beliau.

Menurutnya, ini adalah cara baru penguatkuasaan jenayah syariah di masa depan supaya tidak berlaku disalah guna dan salah erti atas alasan mengintip tetapi tidak mempunyai bukti-bukti yang kukuh.

”Antara lain yang turut dibincangkan adalah pihak berkuasa agama negeri juga perlu mengkaji kaedah terbaik pelaksanaan sebatan.

”Sebatan yang kita bincang bukan sekadar bagaimana anda menyebat, perkara berkenaan jelas sebatan Islam amat berbeza dengan sebatan sivil, tetapi yang lebih besar kita bincangkan adalah sebatan itu mahu dilakukan dimana, siapa yang boleh menyaksikannya,”

Katanya perkara ini perlu supaya hukuman sebat tidak disalah ertikan kerana kehadiran orang dan tumpuan yang terlalu ramai biarpun menyebut hukuman berkenaan dilakukan di dalam mahkamah.

Dalam sidang media berkenaan, beliau ditemani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS), Prof Mohammad Hashim Kamali dan Prof Dr Mohamed Azam Mohamed Adil.

Antara lain yang turut hadir dalam persidangan tersebut adalah hakim-hakim mahkamah syariah dan pengamal-pengamal perundangan Islam termasuk daripada peringkat negeri.

Dr. Mujahid turut menyebut bahawa beliau akan sekali lagi membuat pertemuan dengan ulama-ulama, cendekiawan-cendekiawan, pengamal-pengamal perubatan Islam dan badan bukan kerajaan pada 11 Oktober khusus untuk membincangkan mengenai penguatkuasaan agama.

Sumber : FB Dr. Mujahid Yusof Rawa

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.