Siakap Keli

“Saya Pernah Pesan Pada Syed Saddiq, Beri Perhatian Serius Atlet OKU, Minta Naikkan Insentif Mereka,” – Mufti Wilayah Persekutuan

Kemenangan dua atlet negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Abdul Latif Romly mengharumkan nama negara selepas cemerlang dengan mencipta rekod baru dalam acara masing-masing di Sukan Para Asia 2018, di Stadium Utama Gelora Bung Karno, selasa lalu.

Mohamad Ridzuan mencatat masa 11.87 saat dalam acara 100m T36 lelaki (cerebral palsy), sekali gus memadam rekod terdahulu 11.90 saat yang dicipta atlet Rusia, Evgenii Shvetcov pada Kejohanan Paralimpik Dunia IPC di Lyon, Perancis pada 2013.

Sementara Abdul Latif melakukan lompatan sejauh 7.64 meter, sekali gus memadamkan rekod terdahulu miliknya, 7.60 meter yang dilakar pada Sukan Paralimpik Rio 2016 di Brazil.

Susulan kejayaan ini, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri menyeru kerajaan agar menaikan insentif bagi atlet dalam kategori orang kurang upaya (OKU) ini kepada kadar yang lebih baik.

Beliau dalam status yang dimuat naik melalui akaun Instagram rasmi miliknya berkata, “Saya ada berpesan tempohari kepada YB Syed Saddiq agar memberikan perhatian lebih serius kepada atlet OKU Malaysia kerana potensi mereka amat cerah.”

Menurut beliau, adalah wajar bagi kerajaan untuk menaikkan insentif atlet dan menambah baik kemudahan sukan bagi OKU di seluruh negara.

 

View this post on Instagram

 

Saya ada berpesan tempohari kepada YB @syedsaddiq agar memberikan perhatian yang lebih serius kepada atlet OKU Malaysia kerana potensi mereka amat cerah. Lihatlah apa sejarah yang dicatatkan dalam Para Asia 2018 semalam. Ridhuan Puzi (acara 100m T36 lelaki [cerebral palsy]) dan Latif Romly (acara lompat jauh T20 lelaki (masalah pembelajaran) sudah mencipta REKOD BAHARU DUNIA. Begitu juga 7 emas yang digondol oleh kontinjen negara di sana. Saya menyeru kepada pihak kerajaan untuk menaikkan insentif kepada mereka dan menambahbaik fasiliti untuk kemudahan sukan bagi OKU di seluruh negara. Saya percaya, akan lahir lebih ramai lagi atlet-atlet OKU yang membanggakan negara. Mereka selayaknya dinobatkan sebagai wira-wira negara. Tahniah!

A post shared by Mufti Wilayah Persekutuan (@drzulkifli.albakri) on

Nur Farra