Siakap Keli

Ahli Parlimen Kena Kompaun Selepas ‘Kantoi’ Hisap Rokok Di Kawasan Larangan

Sebuah portal berita berbahasa Melayu tempatan hari ini melaporkan seorang Ahli Parlimen antaranya dikenakan kompoun akibat merokok di tempat awam dalam operasi yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia di kawasan sekitar bangunan Parlimen.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Sektor Kawalan Tembakau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Ariana Hasan, Ahli Parlimen berkenaan merupakan salah seorang daripada lapan orang yang dikenakan kompaun di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

Akhbar yang sama turut melaporkan Dr Ariana memberitahu pihaknya menghantar sekitar 23 sehingga 25 orang untuk memantau tiga kawasan yang sering dijadikan tempat untuk menghisap rokok. Kerajaan baru-baru ini mengisytiharkan seluruh kawasan Parlimen merupakan kawasan larangan untuk menghisap rokok.

Antara kawasan yang dipantau oleh KKM termasuklah kawasan kafetaria, kawasan rehat ahli Dewan Rakyat dan kawasan telaga udara. Ujar Dr. Ariana lagi, KKM akan memantau seluruh bangunan Parlimen sepanjang persidangan berlangsung sehingga Disember ini.

Berdasarkan pertauran berkenaan, mereka yang didapati bersalah perlu menjelaskan kompoun sebanyak RM 500. Sekiranya gagal, denda sebanyak RM 10 ribu atau penjara dua bulan atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memberitahu bahawa mereka yang ingin melepaskan gian merokok atau vape boleh berbuat demikian di luar kawasan Parlimen. Manakala menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye pula, larangan merokok di semua kawasan premis makan dan restoren di seluruh negara akan dikuatkuasakan bermula Januari tahun depan.

 

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.