Siakap Keli
BERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

1MDB : Najib Bakal Hadapi Banyak Pertuduhan

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) — Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka berhadapan dengan lebih banyak pertuduhan berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam tempoh terdekat ini.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan dan enggan mengulas lanjut perkara itu.

Najib sebelum ini telah beberapa kali dipanggil untuk memberi keterangan bagi melengkapkan siasatan SPRM termasuk hari ini beliau turut memberi keterangan kepada SPRM di Putrajaya selama lebih enam jam.

Pada 3 Okt lepas, Najib memberi keterangan hampir tiga jam di Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) SPRM, di Menara KPJ, Jalan Tun Razak, di sini.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman sebelum ini dilaporkan akan memanggil semula Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor berikutan pihak berkuasa memerlukan maklumat tambahan daripada pasangan terbabit untuk membantu siasatan.

Najib sebelum ini telah didakwa di mahkamah atas 32 pertuduhan.

Pada 4 Julai lepas beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Seterusnya pada 8 Ogos, bekas perdana menteri itu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM42 juta hasil daripada aktiviti haram milik dana SRC International Sdn Bhd, dalam dua akaun miliknya, empat tahun lepas.

Pada 20 Sept, Najib sekali lagi didakwa atas 21 pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFA) 2001 dan empat pertuduhan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM.

Sumber : BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

Tambah komen

Sumbang Artikel Anda

Anda suka menulis dan berkongsi? Tetapi tiada medium yang sesuai? Anda dialu-alukan untuk menulis di Siakap Keli sekiranya penulisan anda itu suatu perkara yang manfaat.

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di