Siakap Keli

3 Beranak Lemas, Dipercayai Minum Racun Sebelum Terjun

Semalam, empat orang dilaporkan hilang dipercayai lemas di Sungai Arau, tetapi tiga daripadanya telah dijumpai manakala seorang lagi ditemui selamat di Sungai Petani. Situasi tersebut menimbulkan tanda tanya ramai mengenai apa sebenarnya yang berlaku.

Menerusi satu portal media tempatan, tiga beranak yang lemas itu dipercayai telah bertindak meminum racun sebelum terjun ke sungai berkenaan akibat tekanan hutang berdasarakan keterangan anak lelaki mangsa yang ditemui selamat.

Lelaki tersebut yang berusia 37 tahun memberitahu perkara berkenaan kepada pihak polis selepas dia ditahan kira-kira pukul 10 malam di Taman Ria Jaya, Sungai Petani, Kedah, malam tadi selepas polis mendapat malumat awam.

Menurut Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd, berdasarkan keterangan lelaki terbabit, mereka sekeluarga dikatakan menaiki kereta api dari Sungai Petani ke Arau pada pagi Selasa lalu, sebelum bertindak meminum racun dan terjun ke Sungai Arau.

Tetapi dia terus mengubah fikiran selepas melihat ibu, bapa dan adiknya terjun ke sungai berkenaan selepas meminum racun. Akibat terlalu takut, lelaki itu mengambil keputusan balik ke Sungai Petani semula menaiki kereta api pada Rabu pagi sebelum dikesan orang ramai malam tadi.

Ujarnya lagi, lelaki berkenaan telah direman bermula hari ini hingga 22 Oktober bagi membantu siasatan berhubung kematian ahli keluarganya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh diri dan Seksyen 35(e) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 kerana menyembunyikan kematian.

Memetik laporan Bernama, mangsa pertama ditemukan terapung di sungai itu oleh seorang penduduk Kampung Batu Belat pada kira-kira 8.35 pagi yang kemudian membuat aduan kepada polis.

Pasukan polis yang memeriksa mayat mangsa pertama di tempat kejadian menemui dua lagi MyKad milik dua lagi mangsa iaitu ibu bapanya.

Mayat ibunya kemudian ditemukan pada pukul 10.18 pagi berdekatan Kampung Belat Raja kira-kira dua kilometer (km) dari tempat mayat anaknya ditemukan, manakala mayat mangsa ketiga iaitu ayahnya pula ditemukan di sungai yang sama berdekatan Kampung Che Ok, pada 12.10 tengahari, 10km dari tempat penemuan mayat ibunya.

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.