Siakap Keli

Sebak, Sempat Ambil ‘Selfie’ Terakhir Dalam Pesawat Buat Tatapan Keluarga Sebelum Terhempas

Suasana pilu menyelubungi kesemua ahli keluarga 189 penumpang pesawat termasuk anak kapal Lion Air JT-610 yang terhempas di perairan Karawang pagi tadi pada jam 7.30 pagi waktu tempatan. Terdapat pelbagai kisah sedih yang dikongsikan ahli keluarga mangsa di sebalik nahas ini.

Namun siapa sangka, salah seorang mangsa, Deryl Fida Febrianto berusia 22 tahun dari Surabaya, sempat mengirimkan gambar dan ‘selfie’ terakhir di dalam pesawat buat tatapan ahli keluarganya sebelum pesawat itu terhempas.

Pemuda itu mengirimkan foto sayap pesawat di balik jendela kira-kira jam 5.58 pagi kepada ayahnya, Didik Setiawan, 44, dengan sebelum itu memberitahu dia sudah bersedia untuk pergi bekerja.

Gambar : Tribun News

Tidak mengesyaki sesuatu yang aneh, Didik juga membalas pesanan tersebut dengan memberi nasihat untuk anaknya itu. Siapa sangka ini nasihat terakhir dari seorang ayah buat si anak yang sudah tidak dapat membacanya.

”Selamat berjuang anakku, lakukan pekerjaan dengan ikhlas, pasti akan terasa ringan tanpa bebanan,” pesan Didik ringkas.

Lebih memilukan, dia juga sempat menghantar kiriman ‘selfie’ terakhir kepada isteri tercinta pada jam 6.02 pagi dengan mengatakan dia sudah mahu berangkat pergi sebelum pesawat itu terputus hubungan 18 minit kemudian.

Gambar : Tribun News

“Kali terakhir kami bertemu di Bandara Juanda. Sebetulnya kalau sampai ke Pangkalpinang, dia sudah berada di tempat kerja. Ini merupakan satu musibah,” kata Didik sebak.

Ujar Didik, pada mulanya dia mendengar terdapat pesawat yang jatuh pagi tadi dan terus meminta ahli keluarga di rumah untuk melihat berita bagi mengesahkan kejadian tersebut.

“Saya dengar ada pesawat jatuh, penerbangan Jakarta-Pangkalpinang Lion Air JT-610 pada pagi tadi.

”Saya sedang memandu kenderaan ketika itu, terus menyuruh orang di rumah untuk melihat berita, ternyata benar itu pesawatnya,” katanya sambil mengusap wajahnya yang sembap.

Gambar : Tribun News

Difahamkan, Deryl Fida Febrianto merupakan seorang pekerja kapal kargo yang berada di Pangkalpinang dan dia menaiki pesawat tersebut kerana mahu pulang belayar.

“Kapalnya sedang berhenti di Pangkalpinang, jadi untuk sementara dia tinggal di Jakarta dan setelah kapalnya mahu belayar, dia pulang semula menaiki pesawat itu,” kata ayahnya lagi.

Sumber : Tribun News 1/Tribun News 2

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.