Siakap Keli

Kenapa Tak Pasang Payung Terjun Gergasi Pada Pesawat Penumpang? Ini Jawapannya

Terdahulu, kami ada berkongsi satu artikel bagi menjawab persoalan sesetengah pihak yang bertanya mengapa penumpang-penumpang pesawat komersial tidak dibekalkan dengan payung terjun bagi berhadapan dengan situasi yang tidak diingini misalnya pesawat terhempas.

Antara faktor-faktor yang digariskan oleh pakar aviasi yang menjadi halangan adalah orang awam tidak menerima latihan penerjunan udara, faktor kelajuan dan ketinggian pesawat, suhu diluar dan tekanan udara serta termasuklah rekaan kapal penumpang yang membuatkan penerjunan udara menjadi mustahil.

Namun, beberapa netizen lain menimbulkan persoalan baru, jika mustahil untuk melakukan penerjunan udara daripada pesawat penumpang, kenapa tidak dicipta payung terjun untuk pesawat? Malah ada yang membawa contoh penggunaan payung terjun untuk pesawat angkasa yang membawa angkasawan ketika kemasukkan semula ke bumi.

Sebenarnya, persoalan-persoalan sebegini bukanlah satu perkara baru dan daripada pencarian kami, perkara yang sama turut dipersoalkan diperingkat antarabangsa. Salah satunya adalah jawapan yang disediakan oleh kolumnis di BBC iaitu gergasi media British.

Sebenarnya, sudah wujud penggunaan payung terjun untuk pesawat awam namun penggunaannya hanyalah terhad kepada pesawat bersaiz kecil seperti Cessna dan Cirrus. Kalau anda nak tahu, pesawat-pesawat ini yang mempunyai payung terjun adalah pesawat ringan milik persendirian. Kecil dan tidak membawa penumpang terlalu ramai, mungkin 2 ke 3 orang sahaja.

Jadi, secara asasnya, idea berkenaan memang sudah diguna pakai la kan? Ya betul, namun tidaklah pada pesawat penumpang yang bersaiz mega. Kenapa? Ini beberapa penjelasan yang kami perolehi yang mungkin mampu menjawab beberapa persoalan.

Jumlah penumpang

Ketika ini, terdapat sebuah syarikat yang membangunkan sistem payung terjun pesawat (whole-plane chutes) iaitu Ballistic Recovery Systems (BRS) yang berpangkalan di Miami, Amerika Syarikat.

Pengasasnya, Boris Popov berkata dia kekal positif bahawa penyelidikan berterusan memungkinkan satu hari nanti pesawat penumpang dipasang dengan payung terjun. Ketika ini, pesawat terbesar yang dilengkapi dengan BRS hanyalah untuk pesawat yang berupaya membawa penumpang terhad kepada lima orang.

Ujar Popov lagi, mereka ketika ini sedang berusaha membangunkan BRS yang dapat digunakan untuk pesawat yang mampu membawa sehingga 20 orang penumpang.

Namun, pakar-pakar dunia aviasi seperti Guy Gratton berkata, perkara yang perlu dipertimbangkan adalah daripada sudut nilai (value). Bersediakah syarikat-syarikat penerbangan untuk mengurangkan jumlah penumpang dalam sesebuah pesawat bagi membolehkan payung terjun yang dipasang mampu menampung beban, dan yang paling penting adalah untuk menempatkan payung terjun itu sendiri.

Yelah, sebuah payung terjun untuk pesawat gergasi perlulah bersifat ‘gergasi’ juga, dan kita tidak bercakap mengenai satu payung terjun yang dipasang sahaja. Jadi, bayangkanlah ruang yang perlu ‘dikorbankan’ untuk meletak payung terjun-payung terjun ini.

Ujar Gratton lagi, setiap ciri-ciri keselamatan yang disediakan pada pesawat penumpang bersandarkan kepada ”apa yang paling memberi jaminan untuk menyelamatkan nyawa dengan jumlah wang yang dilabur dan penambahan beban kepada pesawat”.

Rekaan payung terjun

Menurut BBC, pakar-pakar aviasi berpendapat sebenarnya sangat sukar untuk membina sebuah payung terjun gergasi yang mampu menampung berat pesawat komersial yang berpenumpang. Mengambil contoh pesawat terbesar Airbus A380 yang mampu membawa sehingga 830 penumpang, belum lagi ditambah dengan berat pesawat dan kargo yang dibawa, beratnya boleh menjadi sehingga lebih 400 kali ganda berat pesawat ringan Cessna.

Manurut Alizee Genilloud, Pengurus Hubungan Media Airbus, mana-mana sistem payung terjun pada pesawat Airbus mesti bersaiz besar dan mungkin melibatkan penggunaan kanopi yang banyak.

Alizee berpendapat, penambahan penggunaan kanopi memerlukan satu sistem pengurusan yang canggih dan rumit, paling penting katanya, bagi membolehkan payung ini berfungsi pada waktu yang diperlukan (secara automatik dengan mengambil kira sistem pesawat mengalami masalah teknikal) dan tidak teraktif dengan sendiri.

Jumlah payung terjun yang perlu digunakan

Menurut Popov, jika manusia menemui jalan dan sistem yang sesuai untuk mendaratkan sebuah pesawat penumpang yang bermasalah dengan selamat menggunakan payung terjun, jumlah payung terjun yang digunakan perlu diambil kira.

Ujar Popov, mengambil contoh pesawat Boeing 747 dengan muatan penuh sekitar 500 orang penumpang, sebanyak 21 payung terjun bersaiz keluasan sebuah padang bola sepak setiap satu diperlukan.

Popov turut berkata bagi setiap berat 1 pound (o.5 kg) pesawat, seluas satu kaki persegi (0.1sq m) payung terjun diperlukan. Jumlah dan saiz payung terjun yang perlu digunakan pada skala berkenaan dianggap sebagai sesuatu yang mustahil.

Bagaimanapun ujar Popov, idea berkenaan bukanlah ditolak sepenuhnya. Antara perkara-perkara yang boleh dipertimbangkan adalah binaan pesawat dengan beberapa bahagian pesawat boleh ditanggalkan ketika kecemasan dan hanya membenarkan bahagian kabin yang diduduki penumpang sahaja diselamatkan.

Sekiranya teknologi berkenaan berjaya dicipta, jumlah dan saiz payung terjun mungkin dapat dikurangkan disebabkan jumlah beban yang perlu ditanggung telah berkurang.

Namun, masalah lain turut timbul apabila bercakap mengenai teknologi yang boleh memisahkan bahagian pesawat seperti ekor, kokpit juruterbang dan enjin iaitu lokasi bahagian-bahagian berkenaan bakal terhempas. Tidak menjadi masalah sekiranya pesawat berada dalam keadaan tidak boleh dikawal ketika di atas laut, namun jika kapal bermasalah ketika berada di sesuatu kawasan bandar yang padat dengan manusia, ‘sisa-sisa’ berkenaan boleh membahayakan penduduk di bumi pula.

Kapal masih boleh diselamatkan

Menurut pihak berkuasa Penerbangan UK, sangat-sangat jarang sekali untuk kedua-dua enjin kapal menghadapi masalah serentak, lebih-lebih lagi jika pesawat dilengkapi sehingga 4 buah enjin.

Dalam kebanyakkan kes, sebagai contoh pesawat dua enjin, juruterbang masih mampu mengemudi dan mendaratkan pesawat dengan selamat dengan hanya menggunakan satu enjin.

Jika kapal mengalami maslah teknikal pelbagai peringkat, badan berkenaan mengatakan semuanya akan menjadi terlambat termasuk untuk sistem melepaskan payung terjun sekiranya kapal sudah pun dalam peringkat ‘stall’.

Itulah serba sedikit yang dapat kami kongsikan dengan anda untuk menjawab persoalan-persoalan yang anda lontarkan semalam.

Bagaimanapun Popov berkata, biarpun idea berkenaan mungkin tidak dapat dilaksanakan dalam jangka masa terdekad, ataupun dalam kurun ini, namun tidaklah bermakna idea ini adalah mustahil.

Apa yang diperlukan adalah kesedaran dalam kalangan penumpang untuk mendesak kerajaan dan syarikat pembuat kapal membuat revolusi serta perubahan radikal terhadap binaan pesawat di masa-masa akan datang.

BACA : Kenapa Tidak Ada Payung Terjun Untuk Penumpang Pesawat Komersial? Ini Jawapannya

Sumber : BBC

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.