Susulan tularnya beberapa klip video, seorang kanak-kanak lelaki berasal daripada Kemboja ini berubah menjadi seperti seorang seleberiti gara-gara kebolehannya bertutur dengan fasih dalam 16 bahasa, termasuklah bahasa-bahasa utama dunia.
Thuch Salik, 14, menjadi sensasi baru media sosial bukan sahaja di negaranya malah merentasi Asia gara-gara perkongsian video yang dimuat naik ke laman Facebook oleh seorang pelancong daripada Malaysia yang berkunjung ke sebuah kuil di negara tersebut.
Salik ketika itu, seperti kanak-kanak lain berkeliaran di kawasan pintu masuk ke kuil berkenaan dengan harapan dapat menjual cendera hati kepada pelancong-pelancong yang berkunjung ke situ.
Ia bukanlah sesuatu yang aneh sekiranya kanak-kanak ini boleh menyebut beberapa perkataan ataupun frasa dalam bahasa lain seperti Mandarin, bahasa Korea, Jepun dan Inggeris memandangkan kerap menerima pelancong daripada negara-negara berkenaan.
Namun, lain pula dengan Salik kerana kemahairan bahasanya ternyata mengagumkan. Dia berjaya menyesuaikan segala aksi bagi menarik perhatian pelancong dan mampu berbicara dengan mereka dalam bahasa ibunda pelancong-pelancong berkenaan.
Salik yang mengakui belajar sendiri bahasa-bahasa berkenaan dengan mudah dapat mengira angka-angka dalam 16 bahasa berasingan termasuklah Tagalog, Russia, Jepun, Vietnam, Itali, Jerman dan tiga dialek utama bahasa Cina.
”Saya mula menjual cenderahati bermula usia 11 tahun dan kini sudah tiga tahun saya melakukannya. Awalnya, saya hanya menguasai satu bahasa,” kata Salik kepada CNA.
”Saya belajar bahasa Inggeris. Kemudian ibu saya menghantar saya untuk berniaga di Gunung Bak Kheng. Di sana, lebih ramai pengunjung daripada China jadi saya mula belajar bahasa Cina sedikit demi sedikit untuk memudahkan perniagaan. Saya akan mula bernyanyi lagu Cina apabila melihat mereka.
”Pelancong-pelancong ini kemudian berasa kagum dan berkata ‘Wow, kamu boleh bercakap dalam bahasa kami dengan fasih. Kamu boleh menjadi seorang bintang di negara kami”, katanya yang turut menggunakan teknik yang sama apabila berhadapan dengan pelancong-pelancong daripada negara yang berbeza.
Salik yang memperoleh hasil dari kebolehannya itu menyalurkan semuanya kepada keluarga yang digunakan bagi menampung pembelanjaan harian dan yuran sekolah Salik serta adik-adiknya.
Malah, ibunya sendiri tidak percaya dengan kebolehan yang ada pada Salik dan bertambah terkejut apabila mengetahui anaknya sudah terkenal.
”Saya merasa sangat gembira dan tidak ada apa yang dapat menggantikan kebahagian ini,” kata Mann Vanna.
”Walaupun saya ini ibunya, saya sendiri tidak percaya dia mampu mengusai lebih daripada 10 bahasa. Tidak terfikir pun dia boleh menyerap semua ilmu ini.
”Otaknya boleh mengingati banyak perkara dan dapat digunakan untuk menjual barang bagi menyokong keperluan keluarga kami. Sukar untuk percaya,” katanya lagi.
Kini kehidupan mereka bakal berubah apabila Salik dijemput untuk menjadi tetamu dalam rancangan televisyen tempatan dan menarik perhatian ramai pihak.
Usahawan-usahawan terkemuka dan yayasan sukarelawan tempatan mula menyalurkan dana bernilai ribuan dollar kepada keluarga ini. Selain itu, Salik juga diberikan basikal baru bagi menggantikan basikal lama yang digunakannya untuk ke sekolah dan berjual beli.
Ada juga yang berjanji untuk menaja pendidikan Salik sehingga dia berjaya menamatkan pengajian di universiti kelak. Keluarga Salik juga dikhabarkan telah dijemput ke Hong Kong oleh jutawan di sana.
”Saya merasa sangat-sangat gembira. Tidak pernah mempunyai perasaan sebegini sebelum ini. Seperti seorang seleberiti, biarpun ketika makan ada yang mahu bergambar dengan saya,” kata Salik.
Cita-citanya mahu menjadi seorang pemandu pelancong apabila tamat persekolahan. Mengembara ke seluruh dunia dan menjelah tapak-tapak warisan bersejarah yang ada. Hidup Salik mungkin sudah berubah, namun tidak pada yang lain.
Biarpun Salik mampu ke sekolah dan berniaga pada waktu lapang, namun realitinya berbeza buat kanak-kanak lain di Kemboja.
UNICEFF mendedahkan bahawa sekitar 80 ribu kanak-kanak tidak ke sekolah dan terlibat dalam eksplotasi sebagai buruh, rata-rata akibat desakkan hidup dan kemiskinan.
Posted by Venus Gwc on Friday, November 9, 2018
Posted by Venus Gwc on Friday, November 9, 2018
Sumber : Channel News Asia