Umum sudah mengetahui Malaysia merupakan sebuah negara tropika yang sering menerima taburan hujan. Malah, jika anda kerap menyemak kemas kini di laman facebook Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), anda akan dapati hampir setiap hari ramalan cuaca hujan dikeluarkan.
Tak hairanlah, beberapa kawasan di beberapa buah negeri di Malaysia ketika ini berhadapan dengan bencana banjir yang menyaksikan ribuan penduduk perlu dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat.
Baru-baru ini, (terbaru kira-kira 4 jam lalu) dalam satu kemas kini di MetMalaysia, jabatan berkenaan telah memuat naik satu nasihat berkaitan cuaca semasa di Malaysia. Namun nasihat berkenaan, ‘Nasihat Lekukan Tropika’ telah menimbulkan pertanyaan dalam kalangan netizen berhubung terma yang digunakan tersebut.
Kami sendiri, seperti anda pun tertanya-tanya apakah yang dimaksudkan dengan Lekukan Tropika tersebut. Hasil pencarian kami di atas talian termasuklah di laman web NASA memberikan sedikit gambaran mengenai istilah Lekukan Tropika ini.
Carian kami mendapati bahawa terdapat tiga jenis ribut dan salah satunya adalah Lekukan Tropika atau di dalam bahasa Inggeris disebut sebagai Tropical Depression. Dua lagi adalah Tropical Storm atau Ribut Tropika dan yang terakhir adalah Hurricane (taufan).
Tropical Depression/Lekukan Tropika
Lekukan Tropika boleh terbentuk di sesuatu kawasan yang mempunyai tekanan rendah serta ‘ditemani’ dengan kejadian ribut petir pada kelajuan angin dibawah 39 mph atau 62.7 kmj.
Tropical Storm/Ribut Tropika
Manakala Ribut Tropika adalah peringkat seterusnya bagi Lekukan Tropika. Lekukan Tropika bertukar menjadi Ribut Tropika apabila kelajuan angin melepasi angka 62.7 kmj sehingga 73 mph (117 kmj). Selain itu, corak siklon juga akan kelihatan sebelum cuaca ini bertukar menjadi Ribut Tropika.
Hurricane/Taufan
Taufan adalah peringkat terakhir bagi ribut dimana mempunyai kekuatan dan kesan musnah yang lebih tinggi berbanding Ribut Tropika. Ribut Taufan boleh berlaku apabila kelajuan angin bertiup melepasi 117 kmj. Ribut taufan dibahagiakan kepada lima kategori yang dipecahkan kepada kelajuan bergerak :
Kategori 1 : 119 – 152 kmj
Kategori 2 : 153 – 177 kmj
Kategori 3 : 178 – 207 kmj
Kategori 4 : 208 – 251 kmj
Kategori 5 : 252 kmj – ke atas
Berdasarkan maklumat di laman web MetMalaysia, terdapat beberapa kriteria untuk amaran angin kencang dan laut bergelora yang dibahagikan kepada tiga kategori.
Kategori Pertama
a) Angin kencang dengan kelajuan angin dari 40-50 kmsj dan/atau laut bergelora dengan ketinggian gelombang sehingga 3.5 meter (11.5 kaki).
b) Lekukan tropika/ribut tropika di kesan di tengah laut (lebih dari 400km atau 200 batu nautikal dari pantai) membawa angin kencang dan laut bergelora dengan ketinggian ombak seperti dinyatakan di atas.
Kategori Kedua
a) Angin kencang dengan kelajuan angin dari 50-60 kmsj dan/atau laut bergelora dengan ketinggian gelombang sehingga 4.5 meter (15.0 kaki).
b) Lekukan tropika/ribut tropika dikesan di laut atau ZEE Malaysia dan intensitinya meningkat.
Kategori Ketiga
a) Angin kencang dengan kelajuan melebihi 60 kmsj dan/atau laut bergelora dengan ketinggian gelombang melebihi 4.5 meter (>15.0 kaki).
b) Ribut tropika/taufan menghala ke arah kawasan pantai Malaysia.
Itulah serba sedikit mengenai Lekukan Tropika. Semoga menjawab pertanyaan anda.
Sumber : NASA, Dayton Daily News, MetMalaysia