Siakap Keli
BERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA-Gambar Hiasan

Tiada Bantuan Kewangan Untuk Nelayan Musim Tengkujuh – Exco

KUALA TERENGGANU, 25 Nov (Bernama) — Kerajaan Negeri Terengganu tidak akan memberi bantuan kewangan kepada nelayan pada musim tengkujuh ini sebaliknya telah mengambil pelbagai inisiatif untuk menambah hasil tangkapan laut.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata sebelum ini pihaknya telah melabuhkan unjam daun kelapa sebagai tempat pembiakan ikan di lokasi empat dan lima batu nautika dari pesisir pantai.

“Tujuannya agar nelayan masih boleh keluar menangkap ikan di sekitar kawasan unjam tersebut pada musim tengkujuh dan jika berlaku cuaca buruk, mereka boleh pulang ke daratan dengan masa yang cepat kerana jaraknya yang dekat.

“Dalam tempoh enam bulan pemerintahan (PAS), sebanyak 53 unjam telah dilabuhkan di perairan Marang yang menelan kos RM15,000 dan 43 unjam di perairan Paka (RM13,000) dengan kerjasama komuniti nelayan setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Tengku Zaihan Che Ku Rahman (BN-Kuala Besut) yang mahu tahu langkah kerajaan negeri membantu nelayan pada musim tengkujuh kali ini, pada persidangan dewan undangan negeri di sini har ini.

Menjawab soalan lisan Hilmi Harun (PAS-Manir) mengenai usaha kerajaan negeri dalam membantu hasil tangkapan nelayan laut, beliau berkata lebih banyak program memperkayakan hasil sumber laut dan meminimumkan pencerobohan bot nelayan asing akan dilakukan selepas ini.

“Terengganu mempunyai jajaran pantai sepanjang 244 kilometer dari Besut ke Kemaman dan 88,000 kilometer persegi Zon Ekonomi Ekslusif, sudah tentu kita perlukan kerjasama nelayan tempatan selain pemantauan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk menangani masalah pencerobohan nelayan asing terutama dari Vietnam,” katanya.

Menjawab soalan Datuk Muhammad Pehimi Yusof (BN-Jertih) mengenai usaha kerajaan bagi mengkomersialkan tanaman nanas MD2 pula, beliau berkata sebanyak 16 hektar kawasan baharu telah diluluskan untuk projek tanaman itu berbanding 7.89 hektar yang disediakan kerajaan negeri pimpinan BN sebelum ini.

“Kita turut memberi bantuan kepada pengusaha nenas komersial dengan syarat keluasan maksimum 10 ekar (4.05 hektar) dengan bantuan bernilai RM300,000 dan untuk pengusaha kecil pula, bantuan ialah sebanyak RM22,500 bagi setiap ekar tanaman nanas MD2.

”Bagi memastikan harga nanas MD2 tidak turun pula, kerajaan negeri akan menumpukan usaha kepada penghasilan produk hiliran berasaskan nanas dan setakat ini sebuah syarikat pelabur Muslim dari China telah berminat untuk membuka kilang bagi tujuan itu,” katanya.

Sumber : BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.