Siakap Keli
BERNAMA

Kuil: Tujuh Lelaki Ditahan, Ketua Polis Selangor Jamin Siasatan Agresif

SUBANG JAYA, 26 Nov (Bernama) — Polis memberi jaminan akan melakukan siasatan agresif dan menangkap mereka yang terlibat dalam insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ25 di sini, yang menyaksikan tujuh lelaki telah ditahan sehingga 12 tengah hari ini.

Kesemua yang ditahan berusia lingkungan 30-an.

Selain memberi amaran supaya semua pihak mematuhi undang-undang dan tidak mengambil tindakan undang-undang sendiri, Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor meminta semua pihak bertenang bagi membolehkan polis meneruskan siasatan.

“Siasatan sedang dibuat secara agresif dan tangkapan akan dibuat,” katanya tegas, dan menambah kata bahawa siasatan melibatkan perbuatan khianat dan merusuh.

Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di sini, beliau berkata dua individu ditahan ketika mendapatkan rawatan di Hospital Serdang pagi ini akibat tercedera dalam kejadian kira-kira pukul 2.00 pagi ini.

“Sebanyak 18 buah kereta pelbagai jenis dan dua buah motosikal turut dibakar dalam kejadian tadi, sebuah kereta peronda polis turut dirosak akibat dibaling batu oleh perusuh,” katanya pada sidang media, yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Mohammad Azlin Sadari.

Mazlan berkata kini keadaan di kawasan sekitar kuil ini sudah kembali tenang dan kira-kira 700 anggota polis terdiri dari Unit Simpanan Persekutuan dan beberapa unit lagi berkawal di sana,” katanya.

Tinjauan Bernama di sekitar lokasi itu mendapati keadaan tenang dengan kehadiran anggota polis berkawal bagi mengawasi keadaan susulan kekecohan yang belaku awal pagi ini.

Jalan ke kuil berkenaan ditutup manakala polis trafik membuat kawalan di jalan sekitar kawasan itu bagi membantu melancarkan aliran trafik selepas berlaku kesesakan pada waktu puncak pagi ini.

Tiada kelihatan orang ramai berkumpul di sekitar lokasi itu dan jalan menuju ke kuil ditutup menggunakan kon bagi menghalang sebarang kenderaan dan orang ramai mendekati kuil berkenaan.

Menjelaskan butiran insiden berkenaan, Mazlan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada kira-kira pukul 2.45 pagi dan mengarahkan sebuah unit peronda untuk meninjau keadaan.

Namun, kereta peronda itu telah dibaling batu menyebabkan anggota polis berkenaan meminta pasukan bantuan dihantar ke lokasi.

Mazlan berkata, siasatan awal pihaknya mendapati rusuhan berkenaan berpunca akibat provokasi antara dua kumpulan yang berada di lokasi kuil berkenaan.

“Kira-kira 50 individu lelaki berada di dalam pekarangan kuil berkenaan dan sekumpulan lelaki lagi berada di luar kawasan kuil. Berlaku caci mencaci antara mereka hingga membawa kepada rusuhan,” katanya.

Berikutan itu, berlaku pertembungan di antara kumpulan berkenaan hingga mencetuskan kekecohan di sekitar kuil selama kira-kira sejam dan menyebabkan beberapa individu cedera sementara beberapa kereta dan motosikal dirosakkan dan dibakar.

Polis masih menyiasat pemilik kenderaan berkenaan, kata Mazlan.

Beliau berkata, kekecohan itu dapat dikawal kira-kira pukul 5.00 pagi oleh pasukan polis yang dikerahkan ke tempat kejadian sementara pasukan bomba yang dikerahkan ke tempat kejadian memadam beberapa kereta yang dibakar.

“Pihak kami masih menyiasat tujuan 50 individu lelaki berkenaan berada di dalam kawasan kuil, yang kemudian berlaku pertembungan antara kedua-dua kumpulan ini dan kumpulan lelaki ini telah melarikan diri.

“Kami turut menjumpai beberapa bilah parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu,” katanya.

Mazlan meminta semua pihak bertenang dan memberi masa kepada pihak polis untuk menyiasat perkara itu dan tidak menularkan perkara-perkara yang boleh menimbulkan ketegangan antara kaum di negara ini.

“Beri masa untuk kami siasat perkara ini, semua pihak perlu bertenang dan jangan ambil tindakan sendiri, kami (polis) tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap siapa sahaja yang melanggar undang-undang demi menjaga ketenteraman awam.

Sehingga kini, motif dan punca kejadian masih belum diketahui. Terdapat desas-desus yang mengaitkan insiden berkenaan dengan isu pemindahan kuil Sri Maha Mariamman.

Pada 28 Sept lepas, satu notis pengosongan dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mengarahkan penghuni kuil mengosongkan tapak pada atau sebelum 15 Okt lepas.

Bagaimanapun, pada 25 Okt (Khamis lepas) kira-kira 300 individu yang tidak bersetuju kuil itu dipindahkan bertindak berkumpul di kuil berkenaan semasa urusan pemindahan dijalankan.

Individu terbabit mahu kuil berkenaan yang didakwa dibina pada 1891 diselamatkan berdasarkan merit agama dan sejarah.

Pada 31 Okt lepas, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V. Ganabatirau berkata Penghakiman Persetujuan bertarikh 11 Mac 2014, empat pihak terlibat bersetuju memindahkan kuil itu dan menyerahkan kembali tapak kuil dalam keadaan kosong kepada pemilik tanah.

Empat pihak terlibat dalam penghakiman berkenaan iaitu Kerajaan Negeri, pemilik tapak kuil berkenaan One City Development Sdn Bhd (One City) serta dua individu yang mendakwa pentadbir kuil berkenaan, K. Chellappa dan M. Nagaraju.

Chellappa memfailkan bantahan terhadap usaha One City mengambil tapak kuil berkenaan pada 1996.

Dalam penghakiman persetujuan itu, One City bersetuju mendepositkan wang RM1.5 juta kepada pihak kuil manakala Kerajaan Negeri menyerahkan tanah kira-kira 0.4 hektar (satu ekar) terletak kira-kira tiga kilometer dari lokasi asal kuil untuk tujuan pemindahan kuil itu.

Sumber : BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.